Buletin

DENZA N8L DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK ELEKTRIK 230KM, HARGA BERMULA RM199K

Jenama kenderaan elektrik premium di bawah BYD, Denza, kini menambah satu lagi jentera baharu ke dalam barisannya dengan pelancaran rasmi Denza N8L, sebuah SUV besar enam tempat duduk.

Denza N8L hadir dalam dua varian, masing-masing berharga 299,800 yuan (sekitar RM199,000) dan 329,800 yuan (RM219,000), menjadikannya lebih mampu milik berbanding SUV flagship mereka, Denza N9.

Berbeza dengan N9 yang juga ditawarkan dalam konfigurasi empat atau enam tempat duduk, N8L hanya hadir dengan susun atur “2+2+2”. Baris ketiga direka dengan praktikal, di mana ia boleh dilaras ke hadapan dan ke belakang sejauh 100mm, serta boleh direbah sehingga 121° dengan fungsi pemanas tempat duduk.

Pendek kata, ia bukan sekadar tambahan ruang, tetapi betul-betul direka untuk keselesaan perjalanan jauh keluarga besar.

Menariknya, N8L bukan sekadar tentang ruang, tetapi juga pengalaman. Ia dilengkapi dengan paparan skrin di siling, sistem audio premium Devialet, peti simpanan panas dan sejuk, serta sistem pemanduan bantuan “God’s Eye B – Laser Edition”.

Denza turut menambah sistem pencegah mabuk kenderaan (motion sickness prevention), satu fungsi yang pasti dihargai oleh penumpang belakang, terutamanya kanak-kanak.

Model ini dibina di atas platform e³, yang menyokong fungsi seperti “compass turn”, “crab walk mode”, dan “e³ parking”. Teknologi casisnya turut diperkaya dengan sistem DiSus-A Intelligent Air Body Control yang menyesuaikan kekerasan suspensi mengikut keadaan jalan.

Di sebalik penampilannya yang elegan, N8L bukan calang-calang SUV. Ia dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0 liter turbo dan tiga motor elektrik, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.9 saat.

Bateri 46.99kWh pula menawarkan jarak pemanduan elektrik tulen sejauh 230km (CLTC), sedikit lebih baik daripada Denza N9.

Selain itu, sistem pacuan semua roda pintar dengan sudut stereng belakang maksimum ±10° membolehkan SUV ini membuat pusingan penuh dalam radius hanya 4.58 meter, lebih lincah daripada N9 (4.65m).

Dalam ujian kestabilan, N8L membuktikan kemampuan sebenar, lulus ujian elak halangan berkelajuan tinggi sehingga 210km/j, termasuk di permukaan basah tanpa gejala “ekor melayang.”

Dengan kombinasi prestasi, teknologi dan ruang yang luas, Denza N8L jelas menunjukkan bagaimana BYD terus memperkukuh pengaruhnya dalam segmen SUV elektrik premium, kali ini dengan sentuhan mesra keluarga.

Google ads
Back to top button