NISSAN GT-R 2024 FACELIFT – NAMPAK MACAM SAMA
Para peminat GT-R mungkin akan kecewa dengan penampilan model facelift terbaharu yang telah pun dilancarkan secara rasmi di Jepun.
Nissan GT-R 2024 masih lagi membawakan bentuk badan yang sama sejak mula diperkenalkan pada tahun 2007, apa yang beza hanyalah perubahan minima pada beberapa tempat.
Sama juga halnya dengan model facelift terbaharu ini, di mana ia kini menampilkan rupa paras yang sopan dengan jeriji yang lebih kecil, serta kehadiran lampu tambahan berbentuk sarang lebah.
Menurut Nissan, aspek aerodinamik juga turut ditambah baik dengan menambah daya turun, sementara kadar pekali seretan masih lagi kekal pada angka 0.26.
Dua varian khas diperkenalkan bersama model facelift ini, iaitu GT-R T-Spec dan GT-R NISMO Special Edition.
Varian T-Spec mendapat pilihan warna Millenium Jade atau Midnight Purple, diikuti rim forged bersaiz 20 inci berwarna emas, serta sistem brek seramik karbon daripada GT-R NISMO.
Sementara model GT-R NISMO pula membawakan perubahan yang lebih agresif di mana rekaan bampar depan dan belakang serba baharu, diffuser belakang yang garang, serta penawaran warna eksklusif NISMO Stealth Gray.
Dari segi kuasa, GT-R 2024 mengekalkan nadi bentangan V6 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 565 hp dan 632 Nm, sementara GT-R NISMO menerima enjin VR38DETT yang dinaiktaraf bagi menjana kuasa 600 hp dan 651 Nm.
Versi NISMO mendapat manfaat daripada penggunaan komponen berprestasi tinggi termasuklah Limited Slip Differential (LSD) untuk gandar depan.