Buletin

SUZUKI JIMNY LIMA PINTU DILANCARKAN DI INDIA, BOLEH BALIK KAMPUNG BAWAK FAMILI

Setelah sekian lama, akhirnya Suzuki Jimny versi lima pintu membuat kemunculan sulung di acara Auto Expo 2023 bertempat di Delhi, India.

Difahamkan, Jimny yang lebih praktikal ini akan dijual di pasaran global termasuklah Afrika dan Amerika Latin. Mungkin Malaysia termasuk sekali.

Rekaan asal Jimny tidak banyak berubah, melainkan dengan penambahan pintu di belakang, serta dengan ruang kabin yang jauh lebih luas dan praktikal.

Ia membawakan ukuran sepanjang 3,985 mm, lebar 1,645 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 340 mm lebih panjang berbanding Jimny tiga pintu, atau 2,590 mm.

Sebagai sebuah SUV off-road, Suzuki Jimny menawarkan sudut pendekatan 36 darjah, sudut pelepasan 50 darjah, serta sudut breakover menurun 24 darjah disebabkan penambahan jarak antara roda itu tadi.

Menurut Suzuki, tempat duduk hadapan kini boleh dibaringkan habis untuk menyediakan ruang tidur sementara di dalam kabin.

Ruang kargo pula menjadi semakin luas, daripada 208 liter kepada 332 liter apabila tempat duduk baris belakang dilipat.

Susun atur papan pemuka masih lagi sama, menempatkan skrin sentuh bersaiz tujuh atau sembilan inci, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Jimny pasaran India mengekalkan enjin 1.5 liter dengan kuasa 103 hp dan 134 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau auto empat kelajuan, serta sistem pacuan semua roda AllGrip Pro.

Versi hibrid seperti yang dicanang-canangkan sebelum ini masih lagi tidak didedahkan buat masa ini.

Produksi Jimny lima pintu ini sudah pun bermula di kilang Gurugram, manakala fasa penjualan hanya akan bermula pada Mei 2023 ini.

Google ads
Back to top button