Buletin

NISSAN HENTI JUAL JUKE DI AS – GANTI DENGAN KICKS

Nissan tidak lagi menyenaraikan model Juke dalam rangkaian modelnya untuk pasaran Amerika Syarikat (AS).

Sebaliknya, SUV yang mempunyai reka bentuk pelik itu akan digantikan dengan model Kicks. Sebab utama Juke tidak dijual adalah kerana jualannya yang semakin merudum.

Tahun lalu, sebanyak 10,157 Juke berjaya dijual, turun 48 peratus berbanding tahun sebelumnya. Juke mencatat zaman kegemilangannya pada tahun 2014 dengan jualan lebih 38,000 unit.

Tetapi, Juke dilihat terus popular di Eropah apabila mencatat jualan 95,000 unit tahun lalu. Minggu lepas, kilang Nissan di Sunderland, England mengumumkan ia telah menghasilkan Juke yang ke sejuta unit.

Selama ini pun, Nissan sentiasa menegaskan bahawa Juke bukan untuk semua orang. Sasarannya lebih kepada golongan muda yang masih belum berkeluarga.

Kicks yang menggantikan Juke didatangkan dengan harga dan saiz yang hampir sama. Cuma, reka bentuknya lebih konvensional dan mengikuti bahasa rekaan model baharu Nissan. Malah, ia juga dilihat lebih praktikal untuk kegunaan keluarga.

Biarpun begitu, bekas Ketua Reka Bentuk Global Nissan memberitahu dia mahu menghasilkan generasi kedua Juke yang lebih pelik. Sama-sama kita nantikan…

Google ads
Back to top button