Buletin

NISSAN MARCH TALAAN NISMO: MEMANG SEKSI!

Nissan March/Micra yang baru dilancarkan di Paris Auto Show baru-baru ini memang sangat cantik lagi menawan. Terasa seperti di bawa balik ke zaman di mana Hamid Gurkha menjadi model iklan Nissan March bersama Noreen Noor.

Masa tu Axia belum dilahirkan lagi, yang ada ialah Honda Civic generasi pertama, Nissan March  dan Toyota Starlet. Kini ia sudah kembali dengan imej baru, tetapi adakah ia mencukupi? Atau anda rasa belum cukup puas dengan penampilannya? Kalau rasa tak cukup puas hati lagi, teruskan membaca.

Nissan March yang juga dikenali sebagai Nissan Micra sudah banyak berubah berbanding nenek moyang asalnya. Kini ia sudah mampu memukau setiap mata pengunjung di pertunjukan kereta yang disertai.

Ini berikutan rekaannya yang sporty dan agresif. Ia sudah kelihatan laju walaupun dalam keadaan statik. Tapi jika ada varian yang lebih hebat, tentunya ia merupakan satu bonus buat bakal pembeli.

Sudah menjadi trend syarikat pengeluar kereta dengan mewujudkan cabang modifikasi ataupun “tuning arm” masing-masing. Honda gah dengan Mugen, Toyota dengan TRD dan Nissan semestinya dengan Nismo.

Hasilnya inilah Nissan March Nismo terbaru. Ia berpotensi meraih perhatian pembeli yang inginkan sebuah model yang istimewa, agresif, ganas, dinamik, berpresatsi tinggi dan macam-macam lagilah. Cuma sayangnya ini masih lagi dalam peringkat imaginasi.

Buat masa ini ia belum benar-benar rasmi lagi kerana ini ialah hasil rekaan sebuah firma rekabentuk digital X-Tomi Design. X-Tomi Design merupakan firma rekabentuk dari Hungary yang biasanya merekabentuk kenderaan-kenderaan eksotik.

Inilah karya terbaru mereka khusus untuk memberi gambaran sebenar Nissan March Nismo. X-Tomi memberikan sentuhan mereka pada Nissan March terbaru ini agar kelihatan lebih agresif berbanding versi standard. Tanda-tanda khusus semestinya dengan adanya logo Nismo yang cukup terkenal pada bahagian badannya.

Pada bahagian hadapan, selain daripada mereka semula gril berbentuk V itu, X-Tomi telah menempatkan lampu-lampu LED nyalaan siang (DRL) secara melintang. Kemudian penampilan hadapan diserlahkan lagi dengan penambahan lips berwarna merah terang pada bahagian bawah bumper. Ruang kemasukan udara yang bersaiz besar juga menaikkan lagi seri Nissan March Nismo baharu ini.

Modifikasi lain termasuklah penggunaan rim aloi adunan warna hitam dan perak yang kelihatan cukup menyerlah dengan angkup brek yang berwarna merah. Setiap warna yang kontras ini menyerlahkan lagi imej kereta ini berbanding sebelumnya. Malah lampu belakangnya juga digelapkan sedikit agar lebih sporty.

Masalahnya satu saja, jika anda sudah tidak sabar hendak memiliki Nissan March Nismo ni, Nissan belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentangnya lagi. Jadi sabar dulu sambil-sambil kumpul duit. Bila pengumuman rasmi dah keluar kami akan bagi tau. Harap-harap orang Tan Chong membaca artikel ini juga supaya mereka pun sama-sama boleh merisik.

Nissan Note, juga dengan konsep Nismo yang dibangunkan Xtomi
Nissan Note, juga dengan konsep Nismo yang dibangunkan Xtomi

Untuk pasaran Eropah, Nissan March ini dibekalkan dengan dengan enjin 1.0 liter yanag berupaya menjana 73ps. Ia menggunakan teknologi suntikan api yang cukup menjimatkan. Sebagai pilihan rasanya Nissan mungkin akan melengkapkan March Nismo ini dengan enjin 1.6 liter 4-selinder milik Nissan Juke Nismo RS yang mampu menghasilkan 215bhp.

Nissan juga melengkapkan March model 2017 ini dengan pelbagai ciri-ciri canggih seperti Teknologi Kawalan kerangka yang membantu pengawalan agar lebih responsif dan dapat disesuaikan dengan keadaan jalan raya.

Selain daripada itu ada juga teknologi Active Trace Control yang membantu anda agar berada di lorong pemanduan yang sebenar jika tersasar. Fungsi Active Ride Control pula bertindak dengan menyesuaikan tork pada pada setiap roda agar pemanduan terasa lebih lembut dan meyakinkan.

Sudut hiburan semestinya tidak dilupakan untuk sebuah kenderaan yang lebih banyak menghabiskan masa di dalam kesesakan lalu lintas di tengah bandar besar. Untuk itu Nissan mambekalkan enam pembesar suara untuk March 2017 ini. Dua daripadanya dibenamkan terus ke dalam perehat kepala pemandu dan penumpang hadapan. Lantunan muzik yang sebenar disumbangkan oleh sistem audio premium daripada Bose.

Persoalannya bilakah model ini akan masuk ke pasaran Malaysia? Mula-mula kita kena tunggu keputusan daripada Bos-bos Tan Chong dulu. Semoga Bos-bos semua sihat dan sejahtera dan cuba dulu bawa masuk sebiji dua model-model baru ini untuk kami uji pandu.

Almera dan Sylphy dan cukup laku macam goreng pisang cheese meleleh Damia Qistina Shawarma Al-Jawahir, bagilah peluang kepada kami warga Malaysia untuk membeli Nissan March baru pula.

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button