Buletin

NISSAN MUNGKIN BERPAKAT DENGAN MERCEDES-BENZ UNTUK HASILKAN 370Z SERBA BAHARU

Khabar angin bertiup kencang bahawa Nissan 370Z generasi baru mungkin dibina dengan kerjasama Mercedes-Benz.  

Jentera berkuasa tinggi itu didakwa akan menggunakan platform Mercedes-Benz dan dipamerkan di acara Los Angeles Auto Show yang kebetulan menjadi ulang tahun ke-50  Nissan Z.

Menurut laporan Response.jp, Nissan perlu menghasilkan Z kerana Toyota bakal memperkenalkan Supra baharu, hasil kerjasama dengan BMW tidak lama lagi.

Sumber itu juga mendakwa Z baharu akan menggunakan enjin empat silinder pengecas turbo bersesaran 2.0 liter daripada Mercedes-Benz untuk model asasnya. Pilihan enjin lain ialah V6 turbo bersesaran 3.0 liter yang diambil daripada Infiniti Q60 berkuasa 400hp.

Tidak ketinggalan ialah enjin 3.0 liter baharu Merceses berkuasa 369hp yang turut dipasang pada Mercedes-Benz CLS. Wujud juga cadangan rangkaian kuasa hibrid untuk varian lebih premium.  

Biarpun begitu, Motor Trend mendakwa kerjasama ini sebagai berita palsu. Menurutnya, sumber menyatakan Mercedes-Benz ada mendekati Nissan untuk sama-sama membangunkan SLC dan 370Z. Namun Nissan menolak kerana segmen convertible sudah hampir mati.

Nissan bagaimanapun menyatakan model Z masih belum mati sepenuhnya. Tetapi peminat mungkin terpaksa mengambil masa yang lama untuk melihat model itu kembali semula.

Google ads
Back to top button