
MAAF, CHINA BUKAN PASARAN TERBESAR LAMBORGHINI
China sekarang ini berada dalam kedudukan terbaik daripada segi ekonomi. Saiz pasaran skala besar, kerajaan cerdik dalam mengurus ekonomi serta agenda perindustrian yang hebat.
China seolah-olah kilang terbesar di dunia yang menghasilkan sekecil-kecil barang sehingga benda-benda canggih serta sukar hendak dibuat.
Dengan prestasi ekonomi cemerlang dan jumlah penduduk yang ramai tidak hairanlah apabila China adalah pasaran automotif terbesar dunia. Pada tahun 2017, sebanyak 25 juta kereta penumpang dan empat juta kenderaan komersil dihasilkan.
Jumlah tersebut hampir menyamai penduduk negara kita.
Dengan angka jualan tinggi sebegitu, negara China adalah penyumbang jualan yang penting kepada pengeluar kenderaan.
Adalah satu kerugian besar jika pengeluar tidak menawarkan produk di sana oleh itu tidak hairanlah apabila ada jenama yang membina model khusus untuk negara China.
Walaupun begitu tidak semua jenama memperolehi angka jualan tinggi di China. Salah satu daripadanya ialah Lamborghini.
Dengan barisan produk yang gah, Lamborghini belum memperoleh faedah besar dari China.
Negara manakah penyumbang jualan terbesar untuk jenama dari Itali itu?
Amerika Syarikat. Iya, negara ini masih lagi pasaran terbesar untuk Lamborghini. Pada tahun 2017, sebanyak 1,095 unit Lamborghini berjaya di jual di AS.
Negara manakah di tempat kedua? Masih lagi bukan China tetapi sebuah negara di Asia.
Jepun berada di ranking kedua dengan jualan sebanyak 411 unit dan kemudian baru disusuli negara lain.
Di bawah pula ialah fakta jualan Lamborghini pada 2017:
-
- AS di tempat pertama dengan jualan 1,095 unit
- Jepun di tempat kedua – 411 unit
- United Kingdom ketiga – 353 unit
- Jerman keempat – 303 unit
- Kemudian baru China di tempat kelima – 265 unit
- Kanada yang merupakan jiran AS di tempat keenam – 211
- Timur Tengah di tempat ketujuh – 164
- Jualan keseluruhan pada 2017 ialah 3,815 unit – Peningkatan sebanyak sepuluh peratus berbanding 2016 sebanyak 3,457 unit
- Angka tersebut naik hampir tiga kali ganda berbanding 2010 dengan jualan hanya sebanyak 1,302 unit
- Lamborghini Huracán adalah model paling laris dengan jualan sebanyak 2,642 unit
- Lamborgini Aventador pula mencatat jualan sebanyak 1,173 unit
- Perolehan syarikat juga buat pertama kali dalam sejarah syarikat telah melebihi 1 Biliion Euro
Jika angka-angka di atas ini menggagumkan, tunggu angka tahun 2018 pula apabila Lamborghini mula menjual SUV keduanya Urus.
Lamborghini benar-benar menaruh harapan tinggi pada Urus dan telah pun menambah angka bilangan staf dari 1,415 kepada hampir 1,600 orang pada tahun lepas.
Saiz kilang pengeluaran juga telah meningkat dari 80,000 m2 to 160,000 m2 dan mampu mengeluarkan sehingga tujuh ribu kenderaan setahun.
Jika Urus benar-benar menjadi maka Lamborghini akan jadi kaya! kaya! kaya!