Buletin

NISSAN SERENA S-HYBRID FACELIFT 2022. PILIHAN 2 VARIAN, 14.2KM/L, BERMULA RM150K

Edaran Tan Chong Motor hari ini melancarkan MPV popularnya, Nissan Serena S-Hybrid versi facelift secara rasmi.

Sudah membuka tempahan sejak bulan lalu. Nissan Serena S-Hybrid 2022 ditawarkan dalam dua varian iaitu Highway Star serta varian Premium Highway Star.

Melihat kepada aspek mekanikalnya, jentera berkenaan masih lagi menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter dengan bantuan motor elektrik ECO. Rangkaian kuasa yang dipadankan dengan transmisi X-Tronic CVT itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 150PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm.

Rangkaian kuasa itu menawarkan penjimatan bahan api sekitar 14.2km/l. setangki penuh membolehkannya bergerak sehingga 852km tanpa sebarang masalah.

Sebagai model yang dinaik taraf, Nissan Serena S-Hybrid kini dilengkapi pelbagai ciri baharu seperti lampu LED jenis projektor, lampu nyalaan siang DRL, pintu gelangsar sisi berkuasa, rim bersaiz 15 inci (16 inci untuk versi Premium) dan  pemasangan spoiler bumbung.

Sementara ruang kabin pula hadir dengan stereng dibalut kulit, Fine Vision Meter bersaiz tujuh inci, skrin infohibur bersaiz sembilan inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim dua zon, tujuh port USB serta tempat duduk pemandu yang diinspirasikan daripada kerusi Zero Gravity.

Varian Premium didatangkan dengan beberapa ciri tambahan seperti skrin intofainmen bersaiz sembilan inci, kerusi balutan kulit Nappa, dulang kargo, alas lantai, skrin tambahan 11.6 inci yang dipasang pada bumbung, kamera perakam pemanduan (DVR) serta pakej tint V-Kool.

Pelanggan yang membeli varian Premium juga boleh memilih di antara warna coklat dan hitam untuk balutan kulit tempat duduk.

Bagi memberi lebih kemudahan, MPV itu didatangkan dengan ciri pintu gelongsor bebas tangan dan pintu belakang yang boleh dibuka dengan dua bukaan pintu berbeza.

Dari segi keselamatan , Nissan Serena S-Hybrid hadir standard dengan ciri Nissan Intelligent Mobility (NIM). Ia merangkumi amaran pra-pelanggaran, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, amaran keluar lorong (LDW), amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantauan keliling (IAVM), sistem pengesan objek bergerak (IMOD) dan amaran tumpuan pemandu pintar (IDA).

Ciri yang disebutkan itu tadi melengkapi ciri keselamatan pasif seperti enam beg udara SRS, bantuan mula mendaki (HSA), kawalan dinamik kenderaan (VDC) dan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Jika berminat, Nissan Serena S-Hybrid 2022 ditawarkan pada harga bermula RM149,888 dan RM162,888 untuk versi Premium Highway Star.

GALERI

Google ads
Back to top button