Buletin

NISSAN SERENA S-HYBRID FACELIFT 2022 DIBUKA UNTUK TEMPAHAN. 2 VARIAN, HARGA BERMULA BAWAH RM150K

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan memperkenalkan model facelift Nissan Serena S-HYBRID yang telah dipertingkatkan. Sedia maklum bahawa ia merupakan satu-satunya model MPV hibrid yang dipasang tempatan. 

Pelanggan yang berminat sudah boleh membuat tempahan dengan penyerahan pertama dijadual pada Julai depan, Serena S-HYBRID akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Serena S-HYBRID Highway Star pada harga di bawah RM150,000. Manakala varian Serena S-HYBRID Premium Highway Star berharga bawah RM165,000 (tidak termasuk insurans). 

ETCM menggalakkan pelanggan untuk membuat tempahan awal dengan bayaran minimum RM1,000. Ia juga akan membantu kilang untuk menjadual pengeluaran dengan lebih tepat serta mengurangkan tempoh menunggu. Pelanggan yang membuat tempahan awal akan menerima servis percuma selama lima tahun melibatkan alat ganti dan kos buruh. 

Servis percuma itu sebanyak lima kali (10,000km, 30,000km, 50,000km, 70,000km dan 90,000km). Jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun juga diberikan. 

Jentera itu masih menggunakan enjin 2.0 liter hibrid Twin CVTC bersama motor elektrik ECO (energy control motor) yang berfungsi memberikan bantuan kuasa tork ketika hendak memulakan perjalanan. Ini sekali gus mengurangkan beban ke atas enjin dan menjimatkan penggunaan bahan api.

Perubahan pada bahagian luaran melibatkan penggunaan gril hadapan rekaan terkini, lampu belakang dengan grafik S dan bampar serba baharu. 

Ruang kabin pula menawarkan 13 konfigurasi tempat duduk dengan captain seat pada baris kedua yang dilengkapi perehat tangan. Pemandu dan penumpang hadapan pasti kurang penat dengan adanya kerusi Zero Gravity. Ia dibalut ddengan gabungan kulit Nappa untuk memberi lebih keselesaan dan kelihatan premium.  

Sebagai sebuah MPV keluarga Serena S-HYBRID, didatangkan dengan pelbagai ciri yang praktikal seperti pintu gelongsor pada bahagian kiri dan kanan, tujuh port USB, serta sistem keselamatan Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi amaran pra-pelanggaran, brek kecemasan pintar, amaran keluar lorong, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta kamera keliling 360 darjah.

Bergantung kepada varian, terdapat empat warna menarik untuk dipilih. Lebih banyak perincian akan didedahkan pada majlis pelancarannya yang dijadual pada awal Julai 2022. 

Google ads
Back to top button