Pandu Uji

PANDU UJI: MPV NISSAN SERENA HYBRID C27

Membeli MPV adalah keperluan, bukan kehendak buat masa sekarang jika kerajaan meluluskan cadangan menghadkan penumpang yang boleh menaiki kenderaan berdasarkan jumlah kerusi dan tali pinggang yang disediakan pengeluar. 

Malaysia perlu akur dengan peraturan tersebut kerana negara kita telah menandatangani perjanjian Undang – Undang 44 Persatuan Bangsa Bersatu (UN R44).

Jangan risau kerana ada banyak pilihan dari segmen B seperti Hero baru Perodua Aruz, atau Hero tua seperti Proton Exora atau pilihan untuk pengguna dengan duit downline berkepuk kepuk seperti taukeh skim cepat kaya, apa salahnya menyambar Toyota Vellfire recondition unit. Baru luar biasa baik kan..

MPV biasanya mempunyai ciri-ciri seperti bumbung yang tinggi, bahagian dalaman dengan susun atur kerusi yang fleksibel, mempunyai pintu 5 akses, rekaan minimalis 2 kotak ( 1 untuk enjin, 1 ruang penumpang) dan biasanya seat dengan rekaan yang tinggi ( High hip point).

Rekaan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana Volkswagen telah menghasilkan Volkswagen Type 2 pada tahun 1968 siap dengan pintu gelungsur, malah Fiat Multipla dengan ciri-ciri yang sama telah dihasilkan pada tahun 1956.

Namun untuk segmen C, kategori MPV baru sebenarnya pilihan agak terhad berbanding dengan dengan segmen B. Manakala untuk segmen D dibanjiri dengan unit recondition dari Jepun.

Jika anda peminat fanatik Toyota, sudah tentu anda akan memilih Innova yang dibina dengan kerangka yang sama dengan Hilux. Tapi janganlah pandu Innova untuk kembara Camel Trophy.

Satu lagi pilihan ialah Nissan Serena S Hybrid dengan kerangka monocoque yang tampil kelihatan moden, tinggi, dan dari jauh seperti disumpah menjadi Toyota Vellfire.

Apabila saya memuat naik gambar Serena S Hybrid di Facebook Mekanika, ada komen nakal dari warganet yang MPV ini seperti akuarium bergerak. Hmm nak salahkan mereka pun tak boleh juga sebab cermin Serena ni memang besar, nasib baik penulis ini memang kacak orangnya. Boleh jadi ikan duyung jantan.

Selain dari kos cukai jalan yang murah, kos tayar yang murah, harga 50% murah dari Vellfire robot dan insuran yang lebih murah, saya ingin menceritakan pengalaman pemanduan Nissan Serena S Hybrid C27 sebagai alternatif yang sangat berbaloi, mesra poket dan lebih jimat dari Tiara Abam Japar

Reka bentuk luaran

Nissan Serena S Hybrid yang dipandu uji kali ini ialah Serena generasi kelima dengan kod nama MkV C27, dan Nissan menyatakan ia adalah sebuah model serba baru.

Namun bagi kami ia adalah sebuah unit facelift yang ekstensif dari C26 kerana ia masih mengekalkan dimensi yang sama dengan model yang sebelumnya. Pendapat kami lah.

Panjang keseluruhan model ini ialah 4770mm, lebar 1740mm dan tinggi keseluruhan ialah 1865mm. Malah kedua dua model ini berkongsi jarak antara roda yang sama iaitu 2860mm, menghasilkan ruang yang besar bagaikan anda menjadikan ruang tamu rumah anda sebagai kenderaan.

Bahagian hadapan Serena mendapat sentuhan V Motion Grill lengkap dengan kemasan Carbon stripe, dan hanya ciri ni sajalah yang mengaitkan Serena dengan model perlumbaan seperti Nissan GTR.

Lampu hadapan Serena dilengkapkan dengan teknologi LED dan projektor menerangi jalan dengan cahaya putih, manakala guide light dan lampu isyarat membelok dipasang dibelah atas.

Sekiranya dilihat dari jauh, Serena ini mendapat ilham lampu Vellfire. Lampu siang pula dipasang secara bersebelahan dengan lampu kabus depan pada bahagian bampar. sekiranya sensor mengesan Serena melalui kawasan gelap, lampu siang dimatikan dan lampu utama dipasang dalam sela masa 2 saat

Bagi mengelakkan Serena dikutuk oleh pembaca Mekanika, bahagian sisi Serena dibuat dengan lebih berseni berbanding model C26. Tiang A kini mempunyai cermin quarter glass yang berfungsi memudahkan pemandu memarkir kenderaan dengan baik dan menghalang penglihatan pemandu terutama pada titik buta.

Garisan shoulder line pada bahagian sisi bermula pada lampu depan, seperti diukir pada permukaan Serena menganjur dari cermin sisi, pintu depan, pintu belakang, secara bijak menyembunyikan mekanisma pintu gelungsur dan berakhir pada lampu belakang.

Bagi mengelakkan Serena ini kelihatan tinggi seperti buluh, lampu LED yang lama digantikan dengan lampu mentol biasa dengan guide light dan dipadankan dengan kemasan krom secara melintang.

Ok la, sebab lampu depan dah ada LED, maka lampu belakang terpaksa mengalah. Terdapat 1 unit Lampu kabus pula dipasang pada bampar, berbanding dengan 2 unit yang ada pada Vios.

Cuma saya kurang berkenan dengan tayar Serena yang kelihatan sedikit kecil berbanding dengan tubuh Serena yang tinggi. Mungkin kerana terbias memandu uji SUV bertayar besar baru-baru ini, jadi tayar Serena kelihatan seperti kecil walaupun bersaiz 16 inci.

Namun tayar bersaiz 16 ini murah untuk ditukar dengan jenama asalnya iaitu Goodyear bukannya jenama Pingpong atau Tingtong.

Bahagian Dalaman

Bahagian luaran Serena yang berkotak inilah yang menjadi kelebihan pada Serena kerana reka bentuk ini memaksimumkan ruang dalaman.

Oleh kerana kuasa enjin dihantar pada roda depan, sistem trenkuasa adalah ringkas dan tidak menerobos ke kabin penumpang. Jurutera boleh menjadikan lantai Serena rendah dan bumbung tinggi lantas memudahkan proses keluar masuk semua penumpang. 

Penumpang dan pemandu Tak perlu mengangkat kaki tinggi tinggi dan membongkok kepala untuk masuk ke dalam kabin penumpang. Bagi memudahkan orang-orang tua seperti Abam Japar, terdapat pemegang pada tiang B bagi menyokong pergerakan badan.

Pintu gelungsur pada pintu belakang pada sisi kiri dan kanan boleh dibuka dengan menggunakan sensor kaki,  butang sentuh pada tombol pintu ataupun boleh dibuka dari papan pemuka oleh pemandu.

Bukaan pintu ini sangat luas memudahkan akses ke barisan ke tiga, ia semudah menanam pokok buluh seperti saranan menteri.

Tempat duduk barisan pertama dan kedua hadir dengan teknologi Zero Gravity Seat seolah olah seperti gimik murahan Mosus ataupun kerusi Angkasawan NASA dalam misi mencari bumi rata.

Tetapi sebaik sahaja duduk di atas kerusi ini, ternyata kerusi ini sangat selesa seperti kerusi di dewan makan hotel ternama. Sokongan pada tempat duduk belakang hadir pada bahagian pinggang manakala pada bahagian bahu kerusi ini terasa sangat luas.

Bagi saya, gimik ini sangat menjadi kerana selepas memandu berjam-jam badan tidak teras letih kerana postur badan berada pada kedudukan neutral.

Papan pemuka Serena pula dihidangkan dengan perasa dan rekabentuk JDM yang mungkin kelihatan sedikit pelik kerana susun atur suis seperti tidak berseni.

Namun yang bagusnya, ergonomik papan pemuka ini bagus kerana semua suis dan tombol diletakkan pada tempat yang mudah dicapai tanpa anda perlu mengangkat ketiak.

Jika anda pernah mengenali rakan sekerja perempuan Jepun, maka satu perkara yang anda sedari ialah walaupun mereka sangat cantik secara semulajadi tapi mereka jarang bersolek.

Hanya sedikit bedak asas menjadi mekap. Sama seperti papan pemuka Serena, ia ringkas dengan perisa JDM tapi praktikal.

Meter pula diletakkan pada bahagian atas steering memudahkan pemandu melihat tanpa mengalihkan perhatian dari jalan. Meter maklumat pula sarat dengan pelbagai maklumat malah ia boleh mengesan sekiranya bini anda merajuk.

Namun saya kurang berkenan dengan paparan meter undur atau Intelligent Around View Monitor yang dipaparkan pada skrin meter LCD bukannya pada paparan unit audio. Paparan ini kelihatan jauh dan kecil berbanding dengan Nissan X-Trail

Barisan tempat duduk ketiga walaupun tiada teknologi Zero Gravity Seat, ia sangat selesa untuk didiami beberapa jam. Anak anda tidak lagi trauma dan klaustrofobia kerana barisan tempat ketiga hadir dengan cermin sisi yang besar, corong penyaman udara di atas kepala, kerusi boleh laras untuk rehat, 3 perehat kepala, ruang kaki yang lebar dan boleh berlunjur hingga ke barisan kedua, skrin LCD untuk menonton Baby Boss atau untuk menghafal dialog cerita Frozen.

Ada 7 soket kuasa USB untuk semua penumpang menjadikan Serena ini ibarat USB bergerak. Malah penumpang barisan ketiga boleh membuka pintu gelungsur sisi dengan suis di bawah USB, memudahkan pergerakan keluar masuk.

Cuma pada hemat saya, cermin sisi untuk pemandu dan penumpang depan terlampau besar membatalkan niat pemandu untuk mengorek hidung ketika lampu isyarat merah.

Nanti orang tengok malu beb. Bersyukurlah kerana barisan kedua hadir dengan tirai tingkap yang boleh dibuka dan ditutup secara manual

Serena ini mempunyai ruang barang yang sangat la luas, menjadikan ia calon yang sesuai untuk aktiviti menculik kambing di kampung.

Tempat duduk belakang boleh ditolak ke depan sekiranya anda ingin memuatkan lebih banyak barang, atau dilipat ke kiri dan kanan untuk memuatkan basikal, mesin basuh, atau memuatkan barang barang kiriman kawan kawan apabila pulang ke desa.

Ruang kargo mempunyai satu ruang rahsia di lantai yang berguna untuk menyembunyikan harta pemilik seperti kamera, komputer riba ataupun cek bernilai 1.4 juta. Untuk balik kampung, simpan saja penutup itu di rumah untuk ruangan kargo yang lebih besar.

Paling praktikal pintu belakang dilengkapi dengan sistem dual door, membolehkan penumpang membuka pintu belakang dengan hanya membuka cermin belakang yang lebih kecil.

Lampu LED ruang kargo akan menerangi bahagian belakang bagi memudahkan aktiviti mencari barang jika pada waktu malam walaupun anda sangat mahir meraba dalam gelap.

ENJIN DAN KOTAK GEAR

Serena untuk generasi ini dibekalkan dengan enjin MR20DD yang merupakan enjin bersesaran 2000cc lengkap dengan teknologi CVTC (Continuos Variable Timing Change istilah Nissan untuk teknologi dual VVTi), suntikan bahan api terus, dan merupakan enjin yang moden untuk masa kini.

Enjin ini menghasilkan 150PS pada 6000 RPM dan 200Nm tork maksima pada 4400RPM sudah mencukupi untuk menggerakkan Serena dengan selesa.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear Xtronic CVT yang cekap, menjimatkan bahan api dan juga sudah terbukti lasak. 150 PS dengan kotak gear CVT bunyi seperti kurang bermaya di atas kertas, namun prestasi di atas jalan wajar dipuji. Enjin dan kotak gear Nissan sebenarnya shy shy cat.

Sama seperti model sebelum ini, Serena S Hybrid menerima teknologi hibrid, dengan kehadiran motor elektrik berkuasa 2.6 PS dan 48Nm yang dipasang secara sandwich antara kotak gear dan juga enjin.

Motor ini juga bertindak sebagai motor pengecas sistem hibrid dan juga sebagai motor penghidup bagi sistem Start Stop. Serena tidak menggunakan bateri Nickel Metal Hydride seperti Honda, atau Lithium Ion seperti Prius tetapi menggunakan bateri konvensional biasa. Sistem hibrid akan membekalkan tork 50Nm selama 1 saat ketika kereta mula bergerak seperti ketika memulakan perjalanan di persimpangan jalan.

Gabungan kuasa ini sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan lampu AES maqasid syariah menyala berkelip kelip.

Pengalaman Memandu

Sebaik sahaja memulakan pemanduan, anda akan sedar Serena ini dibina untuk pemanduan selesa bukannya pemanduan Sport agresif seperti Ayrton Senna.

Stering bantuan kuasa elektrik terasa agak perlahan dan lambat memberi tindakbalas pada halaju tinggi. Input pada steering mesti sentiasa ditambah jika anda memandu laju di selekoh jika tidak mahu understeer berlaku.

Kuasa yang dihasilkan oleh enjin, walaupun kelihatan lemau di atas kertas namun prestasi di jalan raya boleh dipuji. Bila dipandu pada halaju biasa, enjin ini sangat senyap seolah olah tanpa sebarang deruman pada ruang kabin.

Ditambah pula dengan prestasi cemerlang sistem kedap bunyi Serena, saya sarankan anda tahan saja jika mahu berkentut. Jika pedal minyak ditekan secara agresif, Serena akan memecut pantas meninggalkan kereta lain tanpa teragak-agak. Malah Serena mampu mengekalkan kelajuan normal ketika hari hujan tanpa rasa teragak agak.

Namun ia turut menghadiahkan pemandu deruman enjin yang kuat, seolah olah memprotes jika pemandu menekan pedal minyak secara agresif. 

Kotak gear CVT yang dihasilkan oleh JATCO, memang sensitif dan peka dengan kehendak pemandu. Tekan saja pedal, kotak gear akan mengubah ratio gear yang sesuai dengan keadaan pemanduan samaada memandu santai atau agresif.

Pilihan gear D dan L disediakan pada tombol gear, manakala butang untuk pemanduan Sport berada di bawah tombol utama dengan warna hitam seolah olah menyembunyikan butang ini dari pemandu.

Bila tombol butang Sport ditekan, papan pemuka akan menunjukkan perkataan Sport dan RPM meter akan bergerak secara agresif ke banjaran kuasa sekitar 4000 RPM.

Namun, enjin akan berubah suara dari menderam kepada mengaum seolah olah ia tidak suka berada di mode Sport. Pada hemat saya, gear Sport ini hanya sesuai untuk laluan berbukit bagi operasi brek enjin ketika menuruni bukit.

Sistem suspensi Serena menggunakan topeng McPherson pada roda depan dan torsion beam pada roda belakang digandingkan pula dengan penyerap hentak yang lembut memang sangat selesa apabila merempuh bonggol jalan, jalan tidak rata dan lubang di permukaan jalan.

Tapi satu kelemahan ketara bagi sebuah kenderaan tinggi dan suspensi lembut, Serena cenderung untuk mengalami body roll ketika melalui selekoh seperti bini anda mula mula belajar menari Zumba.

Ditambah pula dengan stering yang lambat bertindak balas dan brek yang lembut, Serena bukanlah calon yang sesuai untuk sebuah MPV sporti tetapi lebih kepada sebuah MPV yang selesa.

Jarak antara roda 2860mm sememangnya membantu menjauhkan pergerakan pitch dari penumpang dan menghasilkan sebuah kereta yang sangat selesa.

Namun, ini akan mengorbankan prestasi Serena di waktu selekoh. Dengan nama “Highway Star” Serena lebih selesa berada di lebuh raya. Mungkin Nissan perlu menghasilkan Serena Hill Star atau Touge Star untuk bapak bapak muda.

Gabungan teknologi CVT, teknologi S Hybrid, sistem Start Stop dan enjin pancitan bahan api terus membolehkan Serena mendapat penggunaan bahan api sekitar 12.8km/liter petrol, kurang 10% dari nilai yang diisytihar oleh Nissan.

Malah saya dapat menjimatkan 600ml petrol dalam operasi Start Stop sepanjang tempoh penggunaan Serena dan secara tak langsung mengurangkan kesan karbon pada alam sekitar.

Kadar Bunyi Bising, Gegaran dan Kekasaran

Nilai bacaan bunyi bising di dalam kabin Serena adalah seperti berikut

Halaju.          Bunyi Bising dB

Melahu.        35

  1.                 56

100                56

  1.                58
  2.                61

Dari segi aspek NVH, kelemahan Serena ialah pada rekabentuk cermin hadapan yang besar. Walaupun cermin yang besar itu memberikan pandangan yang luas pada Serena, tetapi pada waktu hujan bunyi titisan air hujan agak jelas sehingga saya terpaksa menguatkan suara untuk bercakap dengan penumpang belakang ketika memandu dalam hujan lebat.

Mungkin Nissan boleh belajar teknologi cermin depan akustik dari pengeluar lain. Selain itu ada juga bunyi motor dengan enjin 2 lejang menceroboh ruang kabin dengan anggaran bunyi 5db apabila motor tersebut memotong Serena di laluan bandar.

Adakah Serena berbaloi untuk dimiliki?

Serena bukanlah sebuah model yang akan memenangi mana mana pertandingan dewi kebaya atau pertandingan rekabentuk moden terkini. Ia kekal sebagai satu alternatif MPV dari Jepun, dipasang di Malaysia secara CKD, dijual sebagai unit baru dengan harga permulaan RM 131,888.00 untuk varian asas, atau RM 141,888.00 untuk varian premium.

Dengan harga berbeza sekitar RM 9,488 dengan Toyota Innova 2.0X anda akan mendapat:

  1. Sebuah MPV selesa dengan pemanduan seperti kereta dengan 7 tempat duduk fleksibel yang mewah dan selesa
  2. Sistem keselamatan brek ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik, dan 6 beg udara
  3. Enjin 2.0 CVVT pancitan bahan api terus dengan teknologi hibrid yang terbukti menjimatkan petrol
  4. Pintu gelungsur tepi berkuasa elektrik dan pintu belakang Dual Back Door
  5. Cukai jalan yang murah, insurans yang mampu milik dan kos penyelenggaraan yang mesra poket.

Percayalah, peribahasa “Dont Judge The Book by It’s Cover” memang terpakai di sini.

GALERI

Google ads
Back to top button