
NISSAN X-TRAIL E-POWER DEBUT DI JEPUN
Setelah mendarat di negara Amerika Syarikat (guna nama Rogue) dan Australia, Nissan kini melancarkan secara rasmi generasi keempat X-Trail di Jepun.
Ia hanya ditawarkan secara eksklusif dengan trenkuasa e-Power, jadi tiada sebarang pilihan enjin lain yang diberikan kepada pembeli di sana.

Berkongsi platform CMF-C dengan Mitsubishi Outlander, Nissan X-Trail e-Power ini menampilkan trenkuasa e-Power generasi kedua yang dipadankan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter VC-Turbo.
Sistem hibrid terbaharu ini dikatakan telah ditambah baik dari segi kuasa, kelancaran dan juga kesenyapan berbanding model terdahulu.
Harus diingat, sistem e-Power ini tidak menghubungkan enjin secara terus kepada tayar, sebaliknya enjin 1.5 liter itu tadi hanyalah bertindak sebagai unit penjana kuasa semata-mata untuk kegunaan motor elektrik.

Varian 4WD pula menampilkan sistem pacuan semua roda e-4ORCE yang menampilkan tetapan dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar.
Nissan X-Trail juga turut menawarkan teknologi pemanduan satu pedal (e-Pedal Step) yang akan mengaplikasikan brek regeneratif setiap kali pemandu melepaskan pedal pendikit.
Secara keseluruhan, Nissan X-Trail membawakan rupa paras yang sama seperti model Rogue dengan rekaan lampu utama terpisah, gril V-Motion, skid plate ala aluminium, serta tiang A berwarna hitam.
Untuk pasaran Jepun, terdapat 12 warna yang berbeza ditawarkan, serta lima warna dua tona yang boleh dipilih.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster instrumen 12.3 inci, skrin infotainmen 12.3 inci, skrin paparan head-up 10.8 inci, sistem audo Bose Premium Sound System, outlet kuasa 100V AC, pilihan balutan upholsteri fabrik, kulit Nappa, Tailor Fit atau kalis air Cell-Cloth, serta pilihan untuk mendapatkan konfigurasi sehingga lima atau tujuh tempat duduk.
Harga jualan Nissan X-Trail di Jepun bermula dari ¥3,198,800 dan bakal bersaing dengan model seperti Toyota RAV4, Subaru Forester, Honda CR-V dan juga kembarnya Mitsubishi Outlander.

















