Buletin

HONDA CIVIC TYPE R FL5 2023 RASMI

Selepas lebih setahun Honda mengacah model prototaip yang masih berbalut pelekat samaran, kini Honda Civic Type R FL5 muncul secara rasmi.

Seperti yang anda lihat, Civic Type R 2023 ini membawakan pendekatan rekaan yang lebih ringkas tanpa sebarang elemen yang berlebihan pada model FK8 yang terdahulu.

Apa yang jelas kelihatan adalah pemasangan sayap belakang kekal, tiga tip ekzos di bahagian tengah, serta rim yang dikatakan 1 inci lebih kecil berbanding model terdahulu (19 inci) dengan balutan tayar Michelin Pilot Sport 4S saiz 265/30 ZR19.

Unit jantung utama Civic Type R masih lagi mengekalkan nadi K20C 2.0 liter turbo, dan Honda menyifartkannya sebagai jentera Honda yang paling berkuasa pernah ditawarkan.

Sayang sekali, tiada sebarang angka output, serta prestasi pecutan didedahkan buat masa ini, melainkan ia masih lagi kekal dengan padanan transmisi manual enam kelajuan.

Sebagai sebuah Civic yang lebih berkuasa, sudah pasti ia didatangkan dengan beberapa naiktaraf. Honda sekali lagi masih merahsiakan perubahan tersebut, namun mendakwa Civic Type R baharu ini lebih ringan dengan kadar ketegaran casis yang tinggi, serta pengalaman pemanduan yang dipertingkatkan dengan sistem suspensi dan stereng yang ditala semula.

Ruang kabin Civic Type R membawakan susun atur papan pemuka yang sama seperti model Civic standard, melainkan balutan bahan berwarna merah yang menguasai bahagian tempat duduk, diikuti dengan tombol gear manual, dan plak bernombor yang dialihkan posisinya.

Ia juga turut mendapat skrin infotainmen bersaiz 10.2 inci, skrin kluster digital dengan dua paparan berbeza, serta roda stereng balutan kulit yang lebih ringkas kemasannya.

Terdapat beberapa pilihan warna menarik untuk Civic Type R baharu ini termasuklah Rallye Red, Racing Blue Pearl, Crystal Black Pearl, Sonic Grey Pearl dan Championship White.

Lebih banyak informasi bakal didedahkan menjelang tarikh penjualan rasmi pada musim luruh ini, dan ia dijangka membawakan tanda jualan yang lebih rendah berbanding Volkswagen Golf R.

Google ads
Back to top button