
OPEL HENTI PENGELUARAN INSIGNIA AKHIR TAHUN INI, MODEL TERAKHIR GUNA PLATFORM GM
Syarikat Opel dilapor akan menghentikan pengeluaran bagi model saiz pertengahan Insignia menjelang akhir tahun ini bagi memberikan ruang kepada penghasilan model kompak berelektrik di kilang Russelsheim.
Langkah tersebut diambil selepas Vauxhall menamatkan penawaran model kembarnya daripada pasaran UK disebabkan oleh regulasi emisi yang semakin ketat.
Bercakap kepada Business Insider, wakil Opel menyebut, “disebabkan oleh regulasi emisi CO2 dan fokus untuk mengembangkan lagi tiga model baharu di Russelsheim, produksi Insignia akan dihentikan pada tahun ini.

Beliau menambah, Opel akan menggunakan sepenuhnya fasiliti Hesse di Russelsheim untuk produksi model Opel Astra, Opel Astra Sports Tourer dan DS4.
Buat para peminat Insignia, usah risau kerana wakil jurucakap Opel mendedahkan mereka sedang bekerja keras untuk menghasilkan model pengganti serba baharu.
“Opel sedang dalam usaha untuk menjadi jenama EV penuh menjelang 2028, dan sedang bersedia untuk melancarkan beberapa buah model elektrik termaju, termasuk sebuah model EV andalan.
Generasi terkini Opel Insignia mula diproduksikan pada tahun 2016 dan boleh didapati dalam varian sedan Grand Sport, estate Sports Tourer, dan juga versi crossover wagon Country Tourer.
Semenjak penggabungan Opel di dalam PSA Group sebelum diserapkan sepenuhnya ke dalam organisasi besar Stellantis pada 2021, model Insignia merupakan model terakhir yang masih lagi menggunakan asas daripada platform GM.
Selain Opel, beberapa jenama lain turut menghentikan penawaran model saiz pertengahan seperti Ford disebabkan oleh populariti SUV yang kian meningkat. – Business Insider