Pandu Uji

PERODUA ATIVA X, CROSSOVER TERMURAH DI DUNIA KETIKA INI.

Anda masih ingat dengan Perodua Kembara? Ia merupakan crossover pertama yang dijual oleh Perodua dengan harga permulaan sekitar RM 45,000 dengan transmisi manual pada tahun 1999. Boleh dikatakan ia terlalu awal untuk mendedahkan pengguna Malaysia dengan genre crossover kerana kebanyakan pengguna ketika itu biasa dengan sedan, kereta kompak seperti kancil dan juga van

Tiba-tiba muncul satu makhluk aneh yang bersaiz besar sedikit daripada Kancil, dengan enjin 1300cc yang luar biasa besar bagi jenama Perodua serta dengan mekanisme differential bagi agihan tork sama rata pada semua tayar serta pacuan 4×4. Tapi di sebalik kemelesetan ekonomi negara, jualan Perodua Kembara tetap tinggi dan ramai peminat.

Tahun 2008 Perodua Nautica pula muncul tapi ia merupakan unit CBU dari Jepun, hanya bampar sahaja dipasang di kilang Perodua dengan tanda harga RM 89,000. Harga yang terlalu tinggi untuk sebuah kenderaan dengan jenama Perodua serta spesifikasi keselamatan yang biasa-biasa sahaja. Jadi penerimaan Nautica agak suam-suam kuku

Apabila penulis meminta Perodua Ativa X, memang kami mahu bandingkan varian X dengan varian lain yang lebih mahal seperti AV. Adakah pemilik akan terasa inferiority complex jika hanya mampu membeli Perodua Ativa X? Bagaimana pula dengan ciri pemanduan Ativa? Ujian pemanduan penulis selama 10 hari membuktikan Ativa memang sebuah crossover moden, kompak dan selesa dipandu

Awal tahun 2022, penulis telah menasihatkan seorang rakan yang telah menempah sebuah Myvi 1.5H tapi tidak mahu menunggu sehingga berbulan-bulan lamanya. Sisebabkan tuntutan kerja, beliau telah menukar tempahan daripada Myvi 1.5H kepada Ativa 1.0X

Setakat hari ini, rakan penulis masih lagi gembira dengan Ativa X walaupun varian yang diambil merupakan varian termurah mampu milik dengan harga RM 62,500. Dari bahagian depan Ativa X tidak dipasang dengan lampu kabus, kemasan krom di bahagian jeriji digantikan dengan kemasan berwarna perak dan lampu utama masih lagi mengekalkan lampu LED dengan ciri Auto High Beam

Dari bahagian sisi perubahan utama ialah rim bersaiz 16 yang lebih mesra poket digunakan, kemasan perak di bahagian pintu belakang serta bampar belakang dengan bahagian bawah menggunakan kemasan plastik hitam. Hanya varian X sahaja tidak menggunakan logo manakala AV dan H masing-masing menampal logo varian di pintu belakang

Tapi bagi Ativa X yang dipandu uji oleh kami ia telah dipasang dengan aksesori Gear Up telah dipasang dengan skirt depan lengkap dengan lampu LED DRL, skirt sisi, skirt belakang dan spoiler belakang yang lebih bergaya. Berdasarkan pengalaman penulis, unit pandu uji juga akan dipasang dengan aksesori penebat bunyi untuk kualiti bunyi yang lebih bagus.

Catatan bunyi hanyalah sekitar 59dB pada halaju 110km di atas lebuh raya. Jadi jika anda membeli kenderaan Perodua, labur sedikit duit untuk aksesori kedap bunyi kerana ia sangat berbaloi. Bagi varian X, kusyen menggunakan balutan fabrik berwarna kelabu tapi ia merupakan kusyen yang paling selesa yang dihasilkan oleh Perodua.

Sokongan pada upper back dan lower back cukup selesa serta panjang kusyen bahagian bawah yang melapik peha kena dengan ukuran peha penulis. Walaupun stering tiada ciri teleskopik, kedudukan stering, tangan dan kaki pada pedal minyak adalah selesa, jauh lebih selesa daripada Myvi.

Cuma stering yang digunakan oleh Ativa X nampak kosong kerana hanya ada butang Power sahaja diletakkan di bahagian kanan. Lain-lain butang untuk ciri keselamatan lain diposisikan pada papan pemuka di sudut kanan. Ativa X juga tidak dipasang dengan 2 poin USB untuk penumpang belakang

Dari segi saiz, Ativa X sebenarnya cukup kompak dengan panjang sekitar 4065mm dan lebar 1710mm sahaja. Kalau anda parkir Ativa di sebelah Axia, anda boleh nampak yang kedua dua kereta ini tidak ketara sangat perbezaan saiznya. Ini memudahkan penulis untuk memarkir Axia di kawasan yang sempit tanpa masalah, walaupun Ativa X tiada kamera pandang belakang untuk mengundur

Ia hanya dipasang dengan 2 penderia mengundur di bahagian belakang sahaja. Alangkah bagusnya kalau Perodua boleh menjual penderia parkir ini untuk dipasang di bahagian depan melalui aksesori Gear Up. Salah satu ciri lain yang memudahkan Ativa dipandu di kawasan bandar ialah jejari pusingan Ativa adalah kecil, hanya 5.1 meter sahaja.

Anda boleh membuat u-turn di tempat sempit dengan senang selain memudahkan ia diparkir. Jarak kelegaan dari permukaan jalan ialah sekitar 200mm dan ketinggian yang selamat untuk Ativa mengharungi air ialah 250mm. Tak banyak tapi cukup membantu jika Ativa perlu mengharungi banjir kilat di Kuala Lumpur

Enjin 1KR-VET 3 silinder 1000cc yang digunakan hanya menghasilkan 97 kuasa kuda sahaja. Tapi tork yang dijana adalah lebih tinggi daripada Myvi 1.5 iaitu 140Nm tork yang masuk pada 2400 – 4000 RPM. Ditambah pula dengan berat cesi Ativa hanyalah sekitar 1020kg sahaja, maka Ativa akan memecut deras bila pedal ditekan

Malah dalam produk keluaran Perodua, hanya Ativa dan Alza sahaja yang datang dengan ciri Shiftronic walaupun Myvi menggunakan transmisi D-CVT. Jadi anda boleh mengawal ratio gear dengan bagus jika bermain dengan Ativa di selekoh. Tapi jangan cuba laju sangat kerana Ativa ialah crossover yang tinggi berbanding Myvi

Anda akan rasa sedikit bergoyang kerana saiz Ativa adalah kompak dan pusat gravitinya lebih tinggi. Jadi lebih bagus jika Ativa dipandu secara santai sahaja. Sebagai tips penjimatan bahan api, anda boleh mendapatkan catatan bahan api yang bagus dengan syarat anda tidak mengusik sistem turbo

Turbo akan menghasilkan tork maksima daripada 2400-4000 RPM, jika anda memandu pada 100km/jam (RPM kurang daripda 2400) maka anda boleh lihat Ativa sebenarnya sangat menjimatkan. Untuk kali pertama pemanduan, penulis kekal pada halaju 120km/jam di atas lebuh raya dengan RPM mencecah 3000. Maka penggunaan bahan api menurun kepada 16km/liter.

Bagi kegunaan dalam bandar, penulis cuba kekal di antara halaju 80-90km sahaja walaupun ada beberapa ketika ia terlajak pada 100km/jam. Pada halaju 80km/jam, Ativa hanya mencatatkan bacaan RPM sekitar 1500 sahaja dan secara purata penggunaan petrol dalam bandar adalah sekitar 14.5km/liter

Tapi berdasarkan pemerhatian penulis, ada beberapa pemandu Ativa berjaya mencatatkan bacaan sehingga 19.2km/liter dan ada yang berjaya mencapai 21km/liter untuk pemanduan jarak jauh dengan syarat halaju yang dipandu ialah sekitar 80-100km/jam.

Walaupun kusyen Ativa selesa, tapi kusyen Ativa adalah lebih tebal daripada model Perodua yang lain. Keadaan ini menjadikan ruang kaki di bahagian belakang adalah lebih kecil sedikit jika dibandingkan dengan Myvi atau Bezza

Ruang kargo Ativa juga adalah besar walaupun dari segi rekaan luar nampak kecil, sekitar 369 liter walaupun ia memuatkan tayar simpanan bersaiz penuh di bahagian bawah. Sebagai perbandingan ruang kargo Myvi ialah sekitar 277 liter sahaja. Magik juga cesi DNGA yang digunakan oleh Perodua Ativa ini

Selain daripada parkir sensor depan, Perodua juga mungkin boleh menjual unit multimedia dengan ciri sambungan Apple Car Play atau Android Auto melalui aksesori Gear Up. Mana tahu jika selepas beberapa bulan pemilik teringin untuk menaiktaraf sistem audio tapi pada masa yang sama tidak mahu menyebabkan jaminan pengeluar terbatal

Kalau kita bandingkan Ativa X dengan Perodua Nautica, kita akan lihat Ativa dijual pada harga yang jauh lebih murah dan lengkap dengan pelbagai ciri keselamatan seperti 6 beg udara, sistem kestabilan elektronik, sistem amaran pra-perlanggaran, brek pra perlanggaran, pedal misoperation, front departure alert, lane departure warning dan lane departure prevention.

Pada harga RM 62,500 Ativa menawarkan sebuah crossover dengan enjin turbo, gear D-CVT shiftronic, kabin yang luas dan selesa untuk perjalanan jarak jauh. Bak kata mudah, harga warung tapi kepuasan mengalahkan makan di hotel 5 bintang

Google ads
Back to top button