
VAUXHALL GUGUR PENAWARAN INSIGNIA DI UK
Vauxhall dilapor telah menggugurkan penawaran model Insignia dari pasaran UK.
Tanpa menyebut sebab yang khusus, laman web Autocar melaporkan Vauxhall membuat keputusan tersebut berdasarkan kepada trend pasaran di sana, dan mahu memfokuskan kepada elektrifikasi model sedia ada.
Biarpun Vauxhall telah menghentikan tempahan bagi model tersebut, produksi untuk tahun ini akan terus berjalan bagi memenuhi tempahan yang masih belum dilunaskan.
Kembarnya, Opel Insignia akan terus menghasilkan model tersebut untuk pasaran Eropah dan beberapa pasaran lain, sekurang-kurangnya dua tahun sehingga pengganti dalam bentuk kenderaan elektrik sepenuhnya tiba kelak.
Generasi terkini Insignia diperkenalkan pada tahun 2016 sebelum mendapat versi facelift pada tahun 2019, dan turut ditawarkan dalam versi sedan, station wagon, crossover dan juga versi sporti GSi.
Dengan penamatan penawaran model di pasaran tersebut, ini menjadikan Vauxhall Insignia sedan tradisional terbaharu yang meninggalkan pasaran UK selepas Ford Mondeo.
Penurunan jualan bagi model sedan menyebabkan beberapa pengeluar bukan premium mula mengabaikan segmen tersebut demi menumpukan perhatian pada model SUV yang lebih popular. – Autocar