
ORANG RAMAI DILARANG RENTAS NEGERI SAMBUT RAMADAN. POLIS AKAN PERKETAT SJR
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang dikesan cuba merentas negeri untuk balik ke kampung bagi menyambut Ramadan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya akan memastikan pemeriksaan ketat dilakukan di setiap sekatan jalan raya (SJR). Jadi, hanya mereka mempunyai dokumen perjalanan lengkap sahaja dibenarkan merentas negeri.
Zainal memberitahu pihaknya percaya akan ada peningkatan cubaan rentas negeri menjelang Ramadan yang dijangka disambut 13 April ini untuk balik ke kampung, memandangkan pada tahun lalu tidak dapat berbuat demikian.
“Pelbagai cara digunakan orang awam untuk rentas negeri balik ke kampung. Di peringkat PDRM, kita akan memperketatkan semua pemeriksaan di SJR bagi memastikan tiada yang terlepas.
“Kalau ada terjumpa juga, tiada nasihat diberikan. Sebaliknya tindakan undang-undang akan terus diambil ke atas individu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Zainal berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Satu Taman Satu Polis Dan Fokus PDRM Kontinjen Melaka 2021 yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali di Bukit Beruang, Melaka.
Polis seluruh rakyat terus mengambil berat tentang SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Adakah kita akan terus kekal sebegini selamanya kerana masih terdapat sikap tidak mengambil berat akan SOP. Jadi sama-sama patuh SOP supaya kita dapat balik beraya,” katanya.
Menurut Zainal, sehingga kini terdapat kira-kira 35 SJR diadakan di setiap pintu masuk dan keluar serta sempadan negeri di seluruh negara.
“Kita akan tengok jumlah peningkatan kes harian Covid- 19 kalau meningkat, maknanya kita akan menambah SJR,” katanya. – Harian Metro
- BACA: RENTAS SEMPADAN DIPERTIMBANG SELEPAS 80% RAKYAT DIVAKSIN
- BACA: RENTAS SEMPADAN NEGERI NAIK PESAWAT. 4 KENA KOMPAUN LANGGAR PKPB
- BACA: PALSUKAN DOKUMEN RENTAS NEGERI UNTUK BERAYA DI KAMPUNG, PENJAWAT AWAM DIDENDA RM1,800
- BACA: CUBAAN RENTAS NEGERI GAGAL DI LPT2. 4 LELAKI DIKOMPAUN, DIARAH BERPATAH BALIK