
PDRM LAKSANA OPERASI KHAS PANTAU MOTOSIKAL KUASA TINGGI
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melaksanakan operasi khas di seluruh negara sebagai langkah pencegahan setelah ambil maklum mengenai penunggang motosikal berkuasa tinggi sering menunggang pada kelajuan tinggi.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, selain menunggang pada kelajuan tinggi, terdapat juga pelbagai kesalahan lalu lintas lain.
“Sebagai langkah pencegahan, JSPT akan mengadakan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara yang mana tumpuan diberikan kepada penunggang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Umum mengetahui motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya iaitu lebih 55 peratus berbanding kenderaan lain,” katanya.
Tambah beliau, pihak PDRM akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Dalam pada itu, JSPT menasihatkan semua pemilik motosikal berkuasa tinggi supaya sentiasa berhemah di jalan raya, mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.
Mereka yang terlibat dengan kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya boleh dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit salah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Tindakan lain juga boleh diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – Sinar Harian
- BACA: ELAK SEKATAN JALAN RAYA. GUNA RAKIT, SAMPAN BALIK KAMPUNG
- BACA: CUBA LARI SEKATAN JALAN, POLIS TRAFIK FLYING-KICK PENUNGGANG SAMPAI JATUH
- BACA: JPJ KUAT KUASA WAKTU TERHAD KENDERAAN BARANGAN GUNA JALAN UTAMA DI KL
- BACA: PUSARA DI TENGAH JALAN RAYA