PROTON WIRA PALING BANYAK KENA CURI TAHUN LEPAS
Model Proton Wira mencatatkan jumlah tertinggi menjadi sasaran kecurian sebanyak 353 buah daripada 7,400 kes pada tahun lalu.
Ko-ordinator Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia (VTREC), Mas Tina Abd. Hamid berkata, daripada keseluruhan jumlah kenderaan yang dilaporkan hilang pada tahun lalu, Proton Wira merekodkan jumlah kenderaan paling tinggi menjadi sasaran kecurian iaitu sebanyak 353 buah.
“Ia diikuti dengan kereta jenis Proton Iswara dan Toyota Hilux masing-masing sebanyak 273 dan 209 buah.
“Selain daripada kenderaan tersebut, kereta lain yang turut menjadi sasaran adalah Perodua Kancil (114 buah), Perodua Myvi (131), Proton Saga (110), Proton Waja (104), Honda Civic (85), Honda City (75) dan Toyota Velfire (60),” katanya.
Berdasarkan statistik dikeluarkan VTREC, berlaku penurunan sebanyak 4,275 kes atau bersamaan 37 peratus berkenaan kehilangan kenderaan bagi tahun 2019 (11,675 buah) dan 2020 (7,400 buah).
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19 dikesan antara faktor yang mendorong penurunan kes kecurian kenderaan di negara ini pada tahun lalu.
Mas Tina berkata, Selangor mencatatkan jumlah kehilangan kenderaan paling tinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 2,332 buah kenderaan, diikuti Kuala Lumpur (1,572 buah), Johor (1,006 buah), Kedah (495 buah) dan Sarawak (454 buah).
“Semakan kita mendapati, purata sejumlah 32 buah kenderaan telah dilaporkan dicuri setiap hari pada tahun 2019 dan menurun kepada 20 buah kenderaan pada tahun lalu.
“Kita percaya penurunan ini mempunyai kaitan dengan pelaksanaan PKP di negara ini dan juga kesan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – K! ONLINE