
PEMILIK FORD MUSTANG MACH-E TERIMA UGUTAN DARIPADA FANBOY TESLA
Ini bukanlah sesuatu yang dijangkakan oleh Sergio Rodriguez apabila dia membeli sebuah Ford Mustang Mach-E. Bekas tentera yang turut memiliki sebuah Tesla Model X tersebut baru-baru ini selesai menjalani perjalanan rentas negeri dengan kereta elektrik baharunya dan sangat menyukainya.
Malangnya, pengalaman positif yang dialami oleh Rodriguez bersama Mustang Mach-E nyata tidak disenangi oleh segelintir individu.
Detroit Free Press melaporkan bahawa Rodriguez dan seorang lagi pemilik Mustang Mach-E, Jack Craft-Miller menerima ugutan daripada peminat Tesla di laman Facebook dan Twitter.
Kumpulan Facebook Tesla Owner Worldwide menjadi sumber kepada ugutan tersebut. Sebaik sahaja salah seorang ahlinya berkongsi pengalaman positif Rodriguez dengan Mustang Mach-E, ia pantas menerima kecaman.

“Salah satu komen ialah – Saya harap kereta itu hilang kawalan dan berlanggar atau Kereta itu akan terbakar apabila anda memandunya.
“Saya melihatnya sebagai satu ancaman. Kenapa perlu mengugut orang lain. Malah ada yang hantar mesej mesej ‘Saya kenal Tesla anda. Jika saya nampak… Mesej peribadi di Facebook lebih menakutkan,” katanya.
Keadaan itu membuatkan dia mahu menjual Model X miliknya. Rodriguez kemudian memberitahu tentang gangguan tersebut kepada Pengurus Komunikasi Produk Ford, Mike Levine. Malangnya, Levine turut mengalami pengalaman yang sama. Serangan ke atas Levine bertambah serius selepas Mach-E dikatakan berjaya menarik perhatian pelanggan Tesla.
Selepas Rodriguez membuat aduan, komen-komen jelik itu telah dipadam oleh Facebook. Namun sikap agresif taksub peminat Tesla dan Elon Musk masih ada. Mereka mungkin minoriti sahaja, tetapi ia tetap boleh mencalar imej Tesla itu sendiri.