
PEKERJA MAUT DI PUSAT SERVIS KERETA, JKKP SELANGOR KELUAR NOTIS PEMBAIKAN
Berikutan kematian seorang pekerja di pusat servis kereta di kawasan perindustrian Hicom-Glenmarie bulan lepas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor (JKKP) telah mengeluarkan notis pembaikan kepada pusat servis kereta berkenaan.
Pada 20 Januari lalu, seorang pekerja lelaki, 56, dilaporkan terjatuh dari tangga dan mengalami kecederaan di kepala.
Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan sepasukan pegawai penyiasat dikerah menjalankan siasatan selepas menerima maklumat mengenai kejadian pada 3.55 petang itu.

Menurut jabatan itu, mangsa dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan dan pembedahan di kepala, tetapi meninggal dunia kira-kira jam 12.14 pagi pada 8 Februari.
Siasatan awal mendapati lelaki itu sedang menjalankan rondaan apabila dia mengesan terdapat lampu kalimantang telah rosak di premis tersebut.
Dia dikatakan cuba untuk menukar lampu berkenaan dengan memanjat tangga jenis A-frame secara berseorangan, susulan rakannya bercuti sakit.
“Bagaimanapun lelaki berkenaan disyaki terjatuh dari ketinggian 3.4 meter ketika hendak memasang penutup (cover) lampu,”
Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan, tindakan undang-undang akan diambil jika terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. – Free Malaysia Today
- BACA: FIRMA TEKNOLOGI BUANG LEBIH 55,000 PEKERJA, SYARIKAT AUTOMOTIF AMBIL PELUANG MEREKRUT
- BACA: MERCEDES BERI BONUS €7,300 KEPADA SEMUA PEKERJA – INI BARU UNTUNG SAMA DIRASA
- BACA: PEKERJA HYUNDAI OILBANK TERIMA BONUS 1,000%. MASYUK…
- BACA: TESLA GIGAFACTORY BERLIN BERDEPAN MASALAH KEKURANGAN PEKERJA, GAJI TAK SETIMPAL


