
WRC 2023 – KEMENANGAN DRAMATIK OTT TANAK DI RALLY SWEDEN
Pemandu utama pasukan M-Sport Ford, Ott Tanak akhirnya berjaya memenangi perlumbaan yang bersalji dan licin di Rally Sweden, selepas perlumbaan kedua musim ini bersama pasukan yang baharu sahaja disertainya semula.
Keazaman Ott Tanak untuk memenangi Rally Sweden kali ini cukup tinggi sementelah gagal mencapai keputusan yang lebih memberangsangkan ketika perlumbaan pembukaan Rallye Monte – Carlo bulan lepas. Walau pun beberapa ketika, pemandu pasukan Hyundai Craig Breen kelihatan cukup yakin setelah mendahului saingan.
Dan akhirnya, kemenangan berpihak dan menjadi rezeki buat Ott Tanak dan pasukan M-Sport setelah berjaya meninggalkan Craig Breen di tempat kedua dengan kelebihan 18.7 saat sahaja. Sudah tentu kemenangan ini cukup berbaloi buat pasukan M-Sport Ford setelah melamar bekas juara WRC, Ott Tanak untuk menyertai mereka. Apa tah lagi telah lama rasanya pasukan M-Sport Ford ini tidak merasai podium kemenangan. Cukup lama mereka tenggelam dengan dua pesaing yang ada ini. Kali terakhir mereka menang adalah tahun lepas di Rallye Monte – Carlo melalui Sebastian Loeb.

Sementara itu Craig Breen yang hanya memandu secara separuh masa bersama pasukan Hyundai Motorsport setelah berpindah pasukan dari M-Sport Ford sudah pasti merasa cukup lega dan gembira dengan keputusan ini walau pun terdapat sedikit kontroversi yang timbul.
Ketika menuju ke saingan Wolf Power Stage, Craig Breen dengan sengaja (atas arahan pasukan) telah melambatkan diri beliau, akibat daripadanya beliau telah dikenakan penalti 10 saat sekali gus mempromosikan rakan sepasukan, Thierry Neuville menduduki tempat kedua keseluruhan ketika itu. Sudah tentu, dari segi pungutan mata, pasukan Hyundai Motorsport mahu kan lebih pungutan mata daripada pemandu utama berbanding pemandu separuh masa.
Namun hasrat tersebut tidak menjadi nyata, sebaliknya Thierry Neuville tetap kehilangan masa ketika saingan sekali gus Craig Breen kekal di kedua dan Thierry Neuville ketiga keseluruhan. Yang pasti, pungutan mata berharga tetap berjaya dikutip oleh pasukan Hyundai Motorsport.

Semenetara itu, Kalle Rovanepera akur untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan setelah mengalami sedikit kemalangan di awal saingan ketika merempuh timbunan salji hingga mengakibatkan kehilangan masa berharga. Dan melengkapkan kedudukan tempat kelima terbaik adalah Elfyn Evans. Setidaknya, masih mengutip mata berharga untuk pasukan Toyota Gazoo Racing.
Pusingan ketiga FIA World Rally Championship bakal berlangsung di Mexico pada pertengahan Mac nanti.
Kedudukan Pungutan Mata Pemandu
- Ott Tanak – 41 mata
- Kalle Rovanpera – 38 mata
- Thierry Neuville – 32 mata
Kedudukan Pungutan Mata Pengeluar
- Toyota Gazoo Racing – 80 mata
- Hyundai Shell Mobis – 66 mata
- M-Sport Ford – 51 mata
BACA : WRC 2023 – SEBASTIAN OGIER MENANG BUAT KALI KESEMBILAN DI MONTE CARLO
BACA : WRC 2020 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI SWEDEN








