Buletin

PELAJAR UITM PERLIS DILARANG BAWA KENDERAAN LEBIH 125CC KE KAMPUS

Pelajar kolej kediaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dilarang menggunakan kenderaan melebihi 125 cc bagi memastikan kelancaran trafik, sekali gus menyelaras peraturan universiti dalam kampus berkenaan.

Exco Keselamatan, Logistik dan Pengangkutan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kampus Arau Sesi 2024/2025 memaklumkan larangan tersebut menerusi hantaran di Facebook UiTM Perlis MPP pada Sabtu.

Menurut hantaran berkenaan, kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh mengakibatkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap pelajar.

“Pelajar yang menginap di Kolej Kediaman UiTM Cawangan Perlis tidak dibenarkan menggunakan kenderaan sama ada kereta atau motosikal melebihi 125 cc ke dalam kampus. Larangan ini selaras dengan peraturan universiti bagi memastikan kelancaran trafik, keselamatan warga kampus serta memelihara keharmonian persekitaran.

“Sehubungan dengan itu, kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan tindakan tatatertib. Kerjasama semua pelajar amat dihargai,” menurut kenyataan itu.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menyuarakan pendapat masing-masing mengenainya.

Seorang pengguna yang juga alumni UiTM Perlis, Syarief Azman Rosli berpendapat, sekilas pandang, mungkin dasar itu nampak teratur tetapi apabila diteliti, sebenarnya tidak lagi sesuai dengan keperluan pelajar pada hari ini.

“Tahun 2025 ini, majoriti motosikal automatik yang diguna pelajar untuk ulang alik seperti Yamaha NVX, Honda Vario, Y15ZR semuanya dalam lingkungan 150cc. Ini bukan ‘superbike’, bukan motosikal laju untuk ‘racing’ tetapi masih terus dilarang dari mendapatkan pelekat kenderaan kerana kapasiti melebihi had 125cc.

“Had 125cc mungkin relevan pada 10 atau 15 tahun lalu tetapi hari ini, motosikal 150cc lebih stabil, lebih jimat minyak dan lebih mudah dikendalikan apatah lagi oleh pelajar perempuan,” dakwanya.

Menurut Syarief Azman, niat asal peraturan itu bertujuan mengawal trafik, keselamatan dan harmoni, bagaimanapun pada padangannya peraturan tidak boleh statik dan perlu bergantung kepada realiti pelajar serta infrastruktur yang sudah berubah.

Kalau betul niatnya nak kawal trafik dan bukan halang pelajar bergerak, kenapa tiada alternatif lain disediakan? Kenapa tiada permit khas bersyarat bagi motosikal 150cc, dengan syarat tertentu seperti pelajar aktif kokurikulum, pelajar yang ada komitmen luar, pelajar yang balik lewat malam, atau kes kesihatan?

“Sebagai sebuah universiti yang membawa slogan ‘Mahasiswa Proaktif, Pemacu Perubahan’, pihak pengurusan sepatutnya juga bersikap proaktif dan terbuka. Peraturan bukan sekadar perlu dikuatkuasa, tapi juga perlu diteliti semula secara berkala supaya ia kekal relevan, praktikal dan adil,” katanya.

Beliau berpendapat dalam isu tersebut, pelajar bukan minta kebebasan tanpa batas namun sebaliknya mahukan kemudahan fleksibiliti yang munasabah. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button