Buletin

PEMEGANG PERMIT IMPORT RAIH SEHINGGA RM100K BAGI SETIAP EV ADALAH TIDAK BERASAS – KETUA DEWAN MUDA PEKEMA

Dewan Muda Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Pemegang Permit Import (AP) memperoleh keuntungan sehingga RM100,000 bagi setiap kereta elektrik (EV) terutama Tesla adalah tidak berasas.

Ketua Dewan Muda PEKEMA, Raja Petra Maruddin Raja Nordin berkata, angka RM100,000 yang dinyatakan dalam satu sumber berita sebelum ini adalah tidak berasas.

Tambahnya lagi, harga yang mereka bayar untuk membeli kereta EV di negara asal termasuk kepelbagaian faktor seperti pengangkutan, waranti, dan kos operasi.

“Margin keuntungan diambil pengimport daripada harga kilang ketika menjual semula kereta tersebut adalah normal,” katanya.

“Bagaimanapun, harus disedari bahawa pemegang permit import mempunyai risiko tertentu seperti risiko pasaran, kos infrastruktur serta tanggungjawab untuk menyediakan jaminan dan servis selepas jualan atas inisiatif mereka sendiri, di mana pada ketika itu kebanyakan infrastruktur belum lagi tersedia di Malaysia.

“Semua ini merupakan faktor-faktor perlu diambil kira dalam menentukan keuntungan sebenar,” jelas Raja Petra Maruddin Raja Nordin.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa sebagai pemegang permit import (AP), mereka bukanlah pengilang langsung seperti Tesla yang dapat menjual dan menentukan harga kereta secara terus tanpa melalui pengedar atau pihak ketiga.

“Untuk makluman, Tesla adalah satu-satunya pengeluar kereta pada masa ini menjual kereta terus kepada pelanggan. Semua pengeluar kereta jenama lain menggunakan pengedar walaupun sesetengah pengeluar kereta menyediakan konfigurasi serta pembiayaan dalam talian.”

Katanya, faktor-faktor itu mengakibatkan tambahan kos bagi memastikan kereta EV yang diimport adalah selamat selain, mematuhi standard tempatan.

“Dalam perkara ini, sebenarnya kita pengimport adalah perintis dan pemangkin kepada penjualan kereta EV di Malaysia kerana tanpa sokongan kami sebagai pemegang AP, mungkin beberapa jenama EV tidak akan masuk ke pasaran Malaysia.

“Oleh itu, tuduhan yang kami mengambil keuntungan besar tanpa sebarang data atau rujukan adalah tidak adil dan cubaan untuk merosakkan reputasi kami dalam industri ini,” tegasnya.

Raja Petra turut menekankan bahawa mereka sentiasa terdedah kepada risiko semasa beroperasi, terutamanya ketika membawa masuk kereta EV.

Antara beberapa faktor kekangan seperti kekurangan cip, bateri, turut mempengaruhi harga serta menyebabkan turun naik sesebuah EV tidak dapat dielakkan.

“Diharap dakwaan berkenaan dapat dilihat dengan lebih rasional dan tidak hanya berfokus pada angka semata-mata.

“Kami memainkan peranan penting dalam memperkenalkan EV kepada masyarakat Malaysia, dan seharusnya usaha kami dihargai dalam memajukan industri ini.”

Google ads
Back to top button