
PORSCHE 911 S/T DIPERKENALKAN, LEBIH RINGAN, ELEGAN – 518HP, TERHAD 1,963 UNIT SAHAJA
Porsche baru-baru ini memperkenalkan Porsche 911 S/T dengan penampilan lebih garang, kemas tetapi dalam masa sama kelihatan minimalis.
Memiliki berat sekitar 1,386kg, model ini adalah lebih ringan berbanding 911 GT3 Touring dan digayakan dengan komponen CFRP (carbon-fibre-reinforced-plastic) pada hud depan, fender, pintu, bumbung, bar anti-oleng belakang, serta panel pengukuh di belakang.
Porsche 911 S/T diserlahkan lagi menerusi rim magnesium, bersaiz 20-inci depan dan 21-inci belakang selain mempunyai flap Gurney pada spoiler belakang.

Menjengah ke dalam kabin, ia hadir bersama pilihan tempat duduk bucket CFRP atau Sports Seats Plus termasuk terdapat pilihan antara balutan fabrik Classic Cognac dengan pinstripe hitam atau balutan kulit semi-aniline hitam dan Classic Cognac.
Selain itu, 911 S/T tiba dengan pilihan Heritage Design Package yang menawarkan warna Shore Blue Metallic dan rim putih Ceramica.
Bukan itu sahaja, pelanggan juga diberi peluang untuk memilih angka 0 hingga 99 untuk ditampal di pintu selain, mendapat lencana khas pada beberapa bahagian luar serta dalaman.
Beralih kepada kuasa, model ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter naturally aspirated, menghasilkan 518hp dan dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan.
Untuk rekod, ia mampu mencapai 96km/j dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksima 300km/j.
Menurut Porsche, model 911 S/T hanya dihasilkan sebanyak 1,963 unit sahaja dan diberi tanda harga sekitar AS$291,650 (RM1.325 juta).
GALERI:








