BZ4X GAGAL, TOYOTA RANCANG BINA BZ5X PULA – SASAR PELANGGAN AMERIKA
Laporan baru-baru ini mendedahkan Toyota bakal meneruskan kerjasama bersama Subaru untuk menghasilkan kenderaan elektrik meskipun model bZ4X bermula dengan permulaan yang sukar.
Terus memandang ke hadapan, kerjasama ini akan berusaha untuk membina crossover tiga baris di kilang Toyota di Kentucky, bermula pada 2025.
Untuk rekod, bZ4X telah dilencanakan semula sebagai Solterra apabila dijual oleh Subaru. Dihasilkan di Jepun, EV itu mempunyai julat yang mengecewakan dan segera ditarik balik kerana terdapat kebimbangan rodanya mungkin tercabut.
Walau bagaimanapun, Toyota kini merancang mengeluarkan SUV tiga baris, dikenali sebagai bZ5X, sekali gus menjadi model kedua daripada empat crossover elektrik yang dirancang untuk dilancarkan menjelang 2028.
Model baharu itu mungkin disasarkan kepada pelanggan Amerika dan itu menguatkan lagi alasan Toyota untuk membinanya di kilang Kentucky, selain faktor bekalan bateri.
Toyota sebelum ini mengumumkan bahawa mereka membelanjakan sebanyak AS$461 juta (RM2 bilion) untuk membaiki semula kilang pemasangannya seluas 9 juta kaki persegi di Kentucky.
Lokasi itu pada masa ini menghasilkan Camry, Camry Hybrid, RAV4 Hybrid, Lexus ES serta enjin empat dan enam silinder.
Selain itu, Toyota juga akan mula membuat rangkaian kuasa sel bahan api hidrogen untuk trak mulai akhir tahun ini.