PENAJAAN CHEVROLET BERSAMA MANCHESTER UNITED TAMAT PENGHUJUNG TAHUN INI
Sebenarnya berat hati juga BK menulis perihal berita pasukan lawan ni. Mujur juga ada kaitan tentang berita dunia automotif, maka BK tulislah juga. Mujur juga prestasi pasukan Manchester United sekarang ini agak baik juga, jadi tiada modal sangatlah BK nak mengusik.
Khabar berita mengenai perpisahan Chevrolet dan Manchester selaku penaja utama sebenarnya sudah kedengaran sekitar tahun 2019 lagi. Untuk makluman, logo Chevrolet di dada jersi pasukan Manchester United ini sudah mula kelihatan semenjak tahun 2014 lagi. Kira agak lama jugalah kontrak penajaan yang membabitkan jumlah yang agak besar juga, £450 juta atau pun kira – kira £64 juta setahun. Tahukah bahawa kontrak penajaan setahun ini paling tinggi dalam mana – mana kelab EPL, jauh mengatasi kelab seperti Manchester City dengan penajaan berjumlah £45 juta setahun oleh Etihad Airways.
Kontrak penajaan yang besar itu dijadualkan tamat pada penghujung musim ini, atau pun lebih tepat lagi pada tanggal 31 Jun 2021. Namun pihak pengurusan kelab telah pun bermurah hati untuk melanjutkan logo Chevrolet di dada jersi bagi musim baharu 2021/22. Namun pemadanan logo Chevrolet pada jersi musim baharu kelak hanya sah sehingga 31 Disember 2021 dan ianya dilakukan tanpa meminta satu sen pun daripada Chevrolet. Ini bermakna logo Chevrolet yang terpampang pada jersi untuk setengah musim adalah percuma sahaja. Ianya dilakukan atas dasar mengenang budi memandangkan Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sehingga menjejaskan perlawanan liga EPL pada musim lalu. Baik betul Manchester United ni sebenarnya kan?
Khabar angin mengatakan Manchester United kini sedang giat mencari penaja baharu kelak. Cakap – cakap sembang kedai mamak mengatakan Kedai Acheh Gombak mungkin menjadi penaja utama kelak. Ok tipu.
Sebenarnya ada beberapa syarikat besar yang sedang mengintai untuk menjadi penaja utama Manchester United. Diantaranya adalah pengeluar jenama elektrik dari China, Haier. Jikalau diikutkan kuasa wang, pasti tidak punya masalah buat Haeir untuk mengeluarkan jumlah yang sama dibayar setahun oleh Chevrolet. Dan berdasarkan prestasi Manchester United yang kian memuncak, pasti mereka juga cuba mendapatkan beberapa tawaran yang lebih lumayan atau pun setidaknya sama dengan jumlah yang mereka terima sebelum ini.
Yang pasti, untuk musim kempen EPL 2021/22, jersi Manchester United akan mempunyai dua set. Satu dengan logo Chevrolet dan satu lagi bersama penaja baharu.
Kredit : Footyheadlines
BACA : CHEVROLET DAN MANCHESTER UNITED BAKAL BERPISAH. TIADA JODOH LAGI
BACA : KISAH PENAJAAN PENGELUAR KENDERAAN DAN KELAB BOLASEPAK