Buletin

CHEVROLET DAN MANCHESTER UNITED BAKAL BERPISAH. TIADA JODOH LAGI

Seantero dunia tahu, suatu ketika dahulu, (er, sebenarnya tidaklah beberapa lama sangat pun) Manchester United dijulang sebagai antara pasukan bola sepak yang cukup elit dan gah seantero Eropah Barat mahupun Eropah Timur. Mendengar sahaja Manchester, tidaklah pernah pula masyarakat mengaitkannya dengan City. Di bibir golongan M40 mahupun golongan penerima BSH, Manchester itu hanyalah United. Sehinggakan sebuah pasukan di Tanah Melayu ini pun wujud sebuah pasukan yang menjenamakan pasukan mereka kepada Melaka United @ MU. Tidaklah pula mereka meletak nama Melaka City. Mujur warna jersi pasukan tidak ditukar kepada warna merah sebagai tanda bersatu. Eh! Eh!

Dan Manchester United kini  tidaklah seperti dahulu. Taring dan garangnya hilang entah ke mana. Pecat Pengurus dan lantik Pengurus baharu adalah aktiviti yang mereka sewaktu penghujung musim ataupun pertengahan musim. Prestasi pun semakim lama semakin merudum. Kalau tak kena gaya, boleh turun ke League Championship. Kasihan Liverpool. Saingan utamanya kini hanyalah pasukan Manchester City. Itu hari lawan pun sengaja bagi seri. Karang kalau kalah lagi mana entah si Ole Gunnar nak letak muka.

Eh! Eh! Termelalut pula. Kita kembali ke tajuk utama. Buat peminat tegar Manchester United, memakai jersi Adidas berwarna merah disulami dengan logo pengeluar Chevrolet adalah merupakan suatu kebanggaan. Namun dengar khabarnya, kontrak penajaan pengeluar kereta yang berasal dari Amerika Syarikat ini bakal berakhir tidak lama lagi dan pemilik pasukan yang juga berasal dari Amerika Syarikat ini sedang mencari penaja baharu yang mampu menawarkan kontrak yang lebih lumayan berbanding penajaan sedia ada. Dengar kata juga Chevrolet juga tidak mahu menyambung kontrak bersama Manchester United walaupun ketika di awal penajaan mereka hanya bermula sebagai Penaja untuk Rakan Kenderaan Rasmi sahaja. Entah macam mana, Chevrolet bersetuju pula untuk menggantikan penaja utama Aon ketika itu.

Khabar angin juga menyatakan, urusan penajaan Chevrolet yang serba mewah itu dilakukan oleh Joel Ewanick selaku Ketua Pemasaran Global. Dan khabarnya lagi terdapat sedikit ketidakpuasan hati daripada pihak atasan Pengurusan GM, selaku induk kepada Chevrolet sendiri ketika urus niaga dijalankan. Terlebih bayar katanya. Dan disebabkan perkara itu, beliau terpaksa meninggalkan GM walaupun beliau baharu sahaja dilamar GM daripada Nisssan sebelumnya.

Untuk makluman, kontrak penajaan Chevrolet kepada pasukan Manchester United bernilai £450 million (RM 2.426 billion). Cukup untuk membina chasis sebuah model baharu. Kontrak penajaan yang bermula semenjak dari tahun 2014 itu bakal tamat pada tahun 2021 nanti.

Untungkah menaja pasukan bolasepak sampai beratus juta itu? Sebenarnya keuntungan penajaan sebegini tidak boleh dinilai dalam tempoh penajaan sahaja. Harus barang diingat, walaupun Manchester Utd kini sebuah pasukan yang lemah, namun jumlah peminatnya seluruh dunia bukan kepalang. Berbilion ok. Yang menonton siaran EPL ini pun entah berapa juta pula yang sanggup bersengkang mata hingga ke lewat malam. Suatu pendedahan yang bagus sebenarnya untuk penaja.

Memandangkan sekarang ini adalah trend untuk pengeluar kereta menjadi penaja utama untuk kelab bolasepak handalan dunia. Mungkinkah syarikat pengeluar kereta ketiga ataupun keempat Malaysia boleh mengambil kesempatan untuk menjadi penaja Manchester Utd? Tapi kereta kena siapkan dululah kan? Kan?

BACA : HANYA 20 HARI LAGI PELUANG BERSAMA PASUKAN #6 MANCHESTER UNITED

BACA : SUZUKI SETUJU SAMBUNG TAJA KELAB MK DONS UNTUK TIGA TAHUN LAGI

Google ads
Back to top button