Buletin

PENGELUAR TRAK EV DARI CHINA SERANG PASARAN JEPUN

Pembuat kenderaan elektrik (EV) dari China dilihat mula ‘menyerang’ pasaran trak kecil dan bas di Jepun. Perkembangan tersebut dirintis oleh pembuat kereta DFSK dan BYD.

DFSK, sebuah anak syarikat DongFeng Motor yang dimiliki oleh kerajaan akan membekalkan trak-trak kecil kepada syarikat SBS Jepun. SBS juga dilapor membeli 5,000 unit trak lagi daripada pengeluar China yang lain.

BYD pula merancang untuk menawarkan bas-bas berkuasa elektrik dengan potongan harga sebanyak 40 peratus berbanding harga semasanya di Jepun.

Pembuat EV China mula mengisi ruang dalam pasaran pengangkutan di Jepun di mana syarikat mula bertukar kepada kenderaan lebih hijau bagi mematuhi sasaran emisi negara.

Pengeluar kenderaan Jepun bagaimanapun bertindak tidak cukup pantas untuk menghasilkan EV seperti yang dimahukan oleh pasaran. Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan mereka akan ditinggalkan oleh pembuat kereta dari China.

Trak elektrik satu tan DFSK sebenarnya direka oleh folofly, sebuah syarikat pemula Jepun, tetapi dikilangkan oleh DFSK.

Jika tidak ditolak subsidi, harga trak EV itu sama seperti trak enjin ICE buatan Jepun. Ini bermakna, kalau subsidi diberi harganya pasti lebih murah.

Trak-trak berkenaan menawarkan jarak perjalanan sejauh 300km dan akan digunakan untuk menghantar barang ke rumah. SBS berharap dapat mula mengimport trak tersebut pada Januari.

Dalam tempoh lima tahun, SBS akan menggantikan 5,000 unit trak diesel buatan Jepun dengan trak EV China.

Sebagai sebuah syarikat senaraian awam, SBS komited untuk mengurangkan gas rumah hijau. Malangnya, pengeluar kenderaan Jepun masih belum menghasilkan trak EV satu tan. SBS juga menjangkakan jika trak EV berkenaan dihasilkan oleh syarikat Jepun, harganya akan jauh lebih mahal.

Pengeluar kenderaan Jepun kini sedang giat membangunkan trak elektrik. Julai lalu, Suzuki dan Daihatsu mengumumkan penyertaan mereka dalam satu projek membangunkan trak elektrik yang dirintis oleh Toyota.

Namun, mereka mungkin sudah terlambat untuk merebut peluang peningkatan pembelian dalam talian akibat penularan COVID-19 yang memacu permintaan terhadap trak kecil.

Penganalisis industri memberi amaran bahawa trak EV satu tan China akan menguasai pasaran Jepun.

Syarikat penghantaran Jepun lain turut beralih kepada EV China. Sagawa Express, bersetuju untuk membeli EV kecil daripada  Guangxi Automobile Group dan akan menerimanya tahun depan. – Nikkei Asia

Google ads
Back to top button