ACO PASANG STESEN PENGECASAN PANTAS DC 180KW DI JOHOR
ACO Group Bhd bekerjasama dengan EV Connection Sdn. Bhd. untuk memasang stesen pengecasan pantas arus-terus (DC) di ibu pejabat baharu ACO di Johor Bahru dengan kapasiti 180-kilowatt (kW). Ini menjadikannya salah satu stesen pengecasan terpantas di Malaysia dan pertama di Johor.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, kumpulan itu berkata pemilik kenderaan elektrik (EV) boleh memandu ke ibu pejabat ACO bagi mengecas kenderaan mereka sehingga 180kW yang hanya mengambil masa sehingga 30 minit untuk mengecas kereta. Berbanding mengecas menggunakan arus ulang-alik (AC), ia akan mengambil masa enam hingga 10 jam untuk cas penuh.
Pengarah Urusan Kumpulan, Tang Pee Tee berkata, industri EV Malaysia menyediakan peluang yang besar untuk kumpulan dan ia berhasrat memperluaskan penglibatan dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV melalui pelaburan strategik dalam EV Connection.
Sehubungan itu, ACO Group telah mencadangkan untuk memperoleh 10 peratus kepentingan dalam EV Connection, penyedia perkhidmatan mobiliti elektrik sehenti, dengan pertimbangan tunai RM1.0 juta bagi memanfaatkan prospek pertumbuhan yang meningkat dalam EV.
“Bersama dengan EV Connection, kami mensasarkan untuk terlibat dalam meningkatkan rangkaian pengecas EV di Malaysia. Ini bagi membuka jalan untuk penggunaan EV yang lebih meluas dan menyokong usaha mengurangkan emisi karbon,” kata Pee Tee.
Kedua-dua syarikat berkenaan akan memanfaatkan kekuatan masing-masing, melibatkan penawaran dan kewujudan produk ACO yang luas di Malaysia dan pengetahuan teknikal EV Connection yang kukuh dalam infrastruktur EV. Sekali gus boleh mempercepatkan lagi penggunaan stesen pengecasan EV di Malaysia.
Pada jam 2.54 petang, saham ACO turun 4.5 sen kepada 34 sen dengan 33.68 juta saham diniagakan. – Bernama