Buletin

PEUGEOT e-308 SW, WAGON GUNA KUASA ELEKTRIK!

Di pasaran sekarang ada pelbagai model elektrik dari segmen A hingga kepada pikap besar. Memang meriah jika anda tinggal di China, Eropah atau Amerika Syarikat.

Terbaru PEUGEOT memperkenalkan wagon e-308 SW dan hatchback e-308 yang akan memasuki pasaran United Kingdom pada tahun 2023.

Apa yang istimewa ialah kedua-dua model itu digerakkan rangkaian kuasa elektrik dan tambahan kepada varian hibrid plug-in yang diperkenal sebelum ini.

Pengenalan e-308 SW memberi alternatif baik kepada peminat wagon kerana tidak banyak pengeluar menawarkannya dan PEUGEOT menjadi di antara pengeluar Eropah yang terawal.

Wagon dan hatchback e-308 dibekalkan rangkaian kuasa elektrik baharu dengan motor berkuasa 115 kW (156 bhp) dan bateri 54 kWj dan boleh dipandu sehingga 399 km (kitaran WLTP).

Menggunakan pengecas 11 kW yang didatangkan bersama kereta dan pengecasan pantas 100 kW, tempoh yang diperlukan untuk tambahan tenaga dari 20-80 peratus tidak sampai 25 minit!

Ada tiga mod pemanduan pada e-308 iaitu Eco, Normal atau Sport dan menariknya mod Brake yang membolehkan pemandu menikmati jarak lebih jauh.

Ianya berfungsi apabila pemandu mengangkat kaki dari pedal pemecut dan sistem akan mengoptimumkan pemulihan tenaga.

Untuk bantuan pemanduan, PEUGEOT e-308 dilengkapi Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Henti dan Mula, pengawasan titik buta jarak jauh (75 meter) dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang.

PEUGEOT e-308 ditawarkan dalam dua varian iaitu Allure dan GT. e-308 GT dilengkapi lampu depan bentuk taring Matrix LED dan lampu tiga cakar LED di belakang untuk kedua-dua varian.

Roda 18 inci aluminium pula dibuat baharu untuk model ini dengan ciri kecekapan aerodinamik bagi mengoptimumkan prestasi.

Selain bahagian luar yang menawan, dalaman Peugeot e-308 menyerlah dengan stereng cantik dan rekaan bersegi i-Cockpit® terbaru.

Dalaman model ini juga canggih dengan butang maya i-toggle yang boleh diubahsuai dan teknologi sambungan i-Connect® Advanced.

Turut dilengkapi paparan digital head-up dan skrin sentuh saiz sepuluh inci.

Pengenalan e-308 SW dan e-308 adalah langkah terkini PEUGEOT yang mahu menawarkan varian elektrifikasi untuk setiap model keluarannya menjelang 2025.

BACA: PEUGEOT 5008, BESAR & PUAS HATI. PADAN DENGAN HARGA

BACA: PEUGEOT 308 SW, WAGON YANG CANTIK DARI DEPAN KE BELAKANG!

BACA: PEUGEOT 2008 CKD MULA DIHASILKAN DI GURUN. THAILAND JADI PASARAN PERTAMA

Google ads
Back to top button