" "
Buletin

COVID-19: KAKITANGAN MALINDO DIARAH AMBIL CUTI, GAJI DIPOTONG SEHINGGA 50%

Gaji kakitangan Malindo Sdn Bhd (Malindo Airways) dilapor akan dipotong sehingga 50 peratus potongan gaji dan jumlah hari bekerja turut dikurangkan. Arahan itu dibuat berikutan persekitaran perniagaan yang kian sukar akibat penularan virus COVID-19.

Memetik laporan Focus Malaysia, satu memo Malindo kepada kakitangannya bertulis:

“Dengan berat hati dan tiada sebarang pilihan konkrit yang lain, kami terpaksa meminta anda semua untuk menerima pemotongan gaji asas sehingga 50 peratus untuk beberapa bulan akan datang sehinggalah keadaan pulih seperti biasa.

“Hari bekerja anda juga akan dikurangkan sehingga 15 hari sebulan, bergantung kepada tahap pemotongan ini,” jelas memo yang ditandangani oleh Ketua Pegawai Ekskutif malindo Airways, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri.

Penularan COVID-19 memberi impak yang sangat ketara kepada industri penerbangan. Permintaan terhadap penerbangan sangat sedikit dan ia dialami oleh semua pengendali pesawat utama dan serantau.

Orang ramai dilihat menangguhkan perjalanan udara sama ada untuk bercuti atau urusan kerja. Ia bukan sahaja kerana takut terkena jangkitan, tetapi turut disumbang oleh langkah-langkah pencegahan yang semakin ketat dikenakan oleh pihak berkuasa.

Malindo Airways yang dimiliki oleh syarikat penerbangan tambang murah Indonesia, Lion Air Group menjadi syarikat pertama yang mengeluarkan memo pemotongan gaji secara menyeluruh.

Sementara pesaingnya, AirAsia X Bhd dan Malaysia Airlines Bhd setakat ini hanya mengambil langkah mengurangkan jumlah penerbangan dan menurunkan harga tambang.  

Mushafiz memberitahu kakitangan Malindo Airways akan dihubungi oleh ketua jabatan masing-masing dalam tempoh beberapa hari lagi berkaitan cuti tanpa gaji itu. Pada masa sama, syarikat akan beroperasi seperti biasa.

kredit foto: Anna Aero

Google ads
Back to top button