Buletin

ORANG KAYA GUNA JET PERIBADI KELUAR MASUK KE UK DALAM TEMPOH KUARANTIN

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau kuarantin dilaksanakan di banyak negara di seluruh dunia, memang sukar untuk sesiapa sahaja untuk menaiki kapal terbang ke destinasi pilihan. 

Namun, Sunday Times baru-baru ini mendedahkan bahawa golongan ultra kaya masih bebas keluar masuk ke United Kingdom menggunakan jet peribadi sepanjang tempoh kuarantin.

Dianggarkan sekitar 1,312 penerbangan telah dibuat ketika majoriti penduduk terpaksa berkurung di dalam rumah. 

Daripada angka itu, 545 penerbangan adalah dari lokasi panas COVID-19 seperti Jerman, Sepanyol, Perancs dan Amerika Syarikat. Sumber memberitahu mereka merupakan orang kaya yang melihat UK sebagai rumah kedua dan mahu lari dari perintah kuarantin di negara asal. 

Kerajaan UK sebelum ini menggesa orang ramai supaya tidak melakukan perjalanan tidak penting. Ini termasuklah perjalanan ke rumah kedua, kem perkelahan, taman caravan atau sebagainya. 

Ketika Hong Kong dan Korea Selatan menjalankan ujian ke atas semua yang tiba di negara tersebut di lapangan terbang, UK sebaliknya tidak mengenakan larangan penerbangan yang ketat untuk menghalang kes import COVID-19.

Profesor Gabriel Scally dari Persatuan Perubatan Diraja UK menyifatkan pendekatan kerajaan itu sebagai satu perkara yang sukar difahami. 

Menurut firma rundingan penerbangan WingX, pesawat yang paling banyak mendarat di UK ialah dari Jerman (32), Perancis (27), Sepanyol (25 dan 15 (AS).

Manakala daripada 767 penerbangan yang meninggalkan UK pula menuju ke Perancis dan Jerman (34), 30 (Sepanyol), 23 (Rusia) serta Arab Saudi (10). Setiap penerbangan tersebut dikatakan menelan belanja sehingga £100,000 (RM540,500).  

Ketua Eksekutif Air Charter Service, Justin Bowman mempertahankan penerbangan jet-jet peribadi itu. “Kerajaan di seluruh dunia kini berdepan cabaran untuk membawa penumpang yang terkandas di seluruh dunia ke UK. Saya harap mereka yang melanggar arahan kuarantin adalah minoriti,” katanya. 

Pengasas firma jet peribadi Victor, Clive Jackson pula menyatakan pihaknya bertanggungjawab untuk tidak melanggar undang-undang. Selain memberi khidmat kepada pelanggan yang mengalami masalah terpisah dengan keluarga atau ingin mendapatkan rawatan perubatan. 

Pada Mac lalu, Adam Twidell dari Private Fly memberitahu terdapat peningkatan permintaan penerbangan jet peribadi dalam notis pendek sehingga 60 peratus.

“Kami dapat lihat banyak syarikat atau klien mahu mendapatkan khidmat jet peribadi untuk mengelak daripada terdedah dengan kesesakan di terminal dan kabin pesawat,” jelasnya.

Google ads
Back to top button