
PENUNGGANG MOTOSIKAL LANGGAR NEVERA BERNILAI RM9.1 JUTA. PENING MAT NAK BAYAR GANTI RUGI!
Rimac baru sahaja memulakan penghantaran Nevera kepada pelanggan bulan ini. Pemilik pertama hypercar elektrik itu ialah bekas juara dunia F1 2016, Nico Rosberg.
Rimac akan membina hanya 150 unit Nevera dengan setiap satu berharga bermula €2 juta (RM9.1 juta). Semasa Nico Rosberg menerima penghantaran casis #001 yang dicat warna Stellar Black, terdapat juga Callisto Green Nevera #000 yang Rimac telah gunakan untuk tujuan pemasaran dan pandu uji. Kali terakhir ia dilihat di Goodwood Festival of Speed pada awal musim panas lalu.
Pada 12 Ogos, di Lebuhraya Pantai Pasifik di Santa Monica, California, seseorang telah memuat naik video di TikTok menunjukkan sebuah Nevera terlibat dalam kemalangan.

Dalam rakaman tersebut, sebuah motosikal Yamaha kelihatan remuk di bahagian hadapan, manakala Rimac Nevera hanya mengalami kerosakan kecil pada bampar belakang.
Tiada kecederaan yang serius berlaku baik penunggang motosikal mahupun pemandu Nevera tersebut. Namun penunggang tersebut seperti sedar bahawa dia baru sahaja melanggar sebuah kereta bernilai $2 juta (RM9.1 juta).
Penunggang motosikal itu didakwa menunggang secara berbahaya di lebuhraya tersebut. Seperti yang boleh dijangka, tingkah laku begitu sering membawa masalah, apatah lagi dia perlu memaklumkan syarikat insuransnya bahawa dia telah melanggar sebuah kereta bernilai jutaan dollar. Itu pun kalau dia ada mengambil insurans.
Dalam kes ini, agak luar biasa untuk melihat betapa sedikit kerosakan yang dialami oleh Nevera. Ini menjadi bukti kekukuhan casis monocoque gentian karbon dan panel badannya.
Apa yang pasti, pembaikan kecil pun mungkin akan menelan belanja puluhan ribu dolar, termasuk kos penghantaran ke Croatia, lokasi terletaknya kilang dan bengkel Rimac.



