Buletin

SEDAN FASTBACK SPORTI MG7 DILANCARKAN DI CHINA

SAIC baru-baru ini melancarkan secara rasmi sedan fastback MG7 yang merupakan pewaris spiritual kepada model generasi pertama yang muncul pada tahun 2007 hingga 2013.

Berbanding model terdahulu yang membawakan rekaan sedan tiga kotak tradisional, MG7 2022 kali ini membawakan rekaan fastback yang lebih aerodinamik dan bergaya.

Ia berukuran 4,884 mm panjang, lebar 1,889 mm, tinggi 1,447 mm yang membolehkannya duduk di antara model Audi A5 Sportback dan A7 Sportback.

Biarpun menggunakan platform pacuan roda depan, MG7 tetap membawakan rupa paras yang cantik, disumbangkan dengan rekaan tingkap tanpa rangka, rim aloi yang besar, serta bentuk keseluruhan stail coupe.

Ia dilengkapi juga dengan unit lampu LED depan yang tajam, sementara bahagian belakang menampilkan unit lampu LED melintang penuh.

Menariknya, MG7 juga turut menampilkan sistem sayap belakang aktif dengan operasi tiga tahap yang sama seperti Porsche Panamera.

Ruang kabin pula menempatkan panel paparan bersaiz 33 inci yang mengintegrasikan skrin kluster digital dan skrin infotainmen, sistem pencahayaan ambien, kerusi sports, penggunaan bahan premium serta kehadiran bumbung suria panorama.

Untuk pasaran China, MG7 ditawarkan dengan dua pilihan enjin, di mana versi asas 300 VTGI dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 183 hp dan 300 Nm, beserta padanan transmisi DCT.

Versi yang paling berkuasa pula (405 VTGI) hadir dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghamburkan kuasa 254 hp dan 405 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik ZF sembilan nisbah kelajuan, LSD elektronik serta kawalan suspensi elektronik.

Harga jualan hanya akan diumumkan kelak.

Google ads
Back to top button