Artikel Pilihan

KOENIGSEGG REGERA ATASI REKOD KELAJUAN RIMAC NEVERA – OTAI LAGI BERBISA

Hampir sebulan yang lalu Rimac Nevera telah mencipta rekod kelajuan 0-400-0 kmj tapi kini rekod tersebut telah dipecahkan oleh orang lama, Koenigsegg Regera. Raksasa berkuasa elektrik moden nampaknya telah ditewaskan oleh hypercar plug-in hibrid lama yang sudah ditamatkan produksinya. Patut la harganya pun makin mahal.

Koenigsegg memang terkenal dengan rekod kelajuan mereka dan pada tahun 2019 mereka telah mencipta rekod yang sama (0-400-0 kmj) dalam masa 31.49 saat. Ia memadamkan rekod lama mereka 33.29 saat yang dicipta menggunakan Agera RS pada tahun 2017.

Kini Regera kembali dengan memadamkan terus rekod 29.94 saat yang dicipta oleh Nevera sebulan lepas. Catatan terbaru Regera ialah 28.81 saat. Satu saat lebih laju daripada rekod Nevera! Bergaya betul.

Koenigsegg ketika ditanya kenapa menggunakan model lama untuk mengatasi rekod ini cuma menjawab, “Kerana ia boleh dilakukan?”. Bayangkan walaupun beberapa tahun berlalu, Regera masih merupakan Raja kelajuan. Bukan sesuatu yang pelik kerana namanya sendiri dalam bahasa Sweden bermaksud “untuk memerintah”. Memang tepat sungguh dengan namanya.

Bukan itu sahaja, Regera turut memegang rekod kelajuan terpantas 402 kmj untuk kenderaan produksi jalan raya dengan catatan masa 29.6 saat. Kehebatan pecutan dan daya henti Regera bukan diukur oleh penghulu kampung atau pun pemimpin pengakap dewasa tetapi ia diukur oleh Racelogic lama dulu pada tahun 2015.

Untuk menghasilkan rekod ini, Regera telah dibawa ke Orebro Airport yang terletak di barat Stockholm. Kenapa? Sebab lapangan terbang ini mempunyai landasan sepanjang 3,274 meter membolehkan enjin V8 twin turbo Regera mengeluarkan semua potensinya. Catatan rekod kali ini mungkin juga dibantu permukaan landasan yang lebih rata selain menggunakan tayar Michelin Pilot Sport Sport Cup 2 R terbaru. Err.. saiz Alza vtectec ada tak?

Kalau dah Regera pun macam ni punya laju macam mana la pula agaknya catatan masa yang bakal dihasilkan oleh Jesko Absolute? Tunguuu…

Google ads
Back to top button