Seorang lelaki yang disyaki peragut maut dan rakannya pula cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Antara Gapi, Ulu Yam di Kuala Kubu Bharu semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kedua suspek yang menunggang sebuah motosikal sebelum itu dikatakan meragut rantai seorang lelaki di pekan Kuala Kubu Bharu pada 12.40 tengah hari.
Menurutnya, mangsa bersama rakannya yang turut bermotosikal segera mengejar motosikal suspek sehingga persimpangan lampu isyarat terbabit.
“Sebaik suspek membuat pusingan U di persimpangan terbabit, motosikal dinaiki mereka kemudiannya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.
“Akibat kejadian itu, pembonceng motosikal berkenaan maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.ADVERTISING
Azman berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala rakannya itu tiada rekod jenayah.
“Semakan terhadap motosikal digunakan mereka didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk sedang mengesan kereta yang dilaporkan melanggar motosikal mereka.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
KREDIT: HARIAN METRO