Buletin

PERAGUT MENYAMAR JADI RIDER E-HAILING BERJAYA DIBERKAS

Penjenayah sememangnya licik serta hadir dengan seribu satu taktik. Maka, tidak hairanlah orang ramai terpedaya dan akhirnya menjadi mangsa jenayah.

Di Petaling Jaya baru-baru ini terdapat kes di mana penjenayah menyamar penunggang e-hailing sebelum meragut pejalan kaki.

Menurut aduan diterima polis, mangsa mendakwa diragut ketika sedang berjalan kaki melintasi jalan untuk pergi ke Plaza 33.

press conference by PJ polis

“Mangsa didatangi seorang suspek menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dengan keadaan beg penghantar makanan syarikat e-hailing terkemuka di tempat duduk belakang,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Tambah Mohamad Fakhrudin, atas maklumat serta hasil risikan itu, polis bertindak pergi ke satu kawasan perumahan di Jalan Gasing Indah dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.

Katanya dalam sidang media, suspek membuat pengakuan terlibat dalam kes ragut yang sedang disiasat.

Selain itu, suspek turut mengaku menjual telefon bimbit mangsa kepada seorang lagi rakan sejenayahnya kini masih bebas.

“Berpandukan kepada maklumat suspek pertama itu, polis berjaya membuat satu lagi serbuan dan berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan seunit telefon pintar berjenama iPhone, disyaki kepunyaan mangsa.”

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan semakan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau berkaitan samun serta mencuri kenderaan.

Sementara suspek kedua pula mempunyai satu rekod lampau kesalahan dadah.

Kedua-dua suspek itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan sewajarnya. – The Star

Google ads
Back to top button