Buletin

PERAK PACU EKONOMI DENGAN KILANG PEMASANGAN BYD DI TANJONG MALIM

Negeri Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat automotif negara apabila syarikat kenderaan elektrik terkemuka dunia, BYD Company Limited, memilih KLK TechPark di Tanjong Malim sebagai lokasi kilang pemasangan (CKD) pertamanya di Malaysia.

Projek ini yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri bakal membuka peluang pekerjaan, memindahkan teknologi baharu serta merancakkan pembangunan industri sokongan tempatan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Perak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan membawa masuk pelaburan ini adalah hasil usaha pantas kerajaan negeri melalui inisiatif Muallim Speed-Lane yang mempercepatkan proses rundingan dengan pelabur antarabangsa.

“Kehadiran BYD bukan sahaja menjadikan Tanjong Malim sebagai hab automotif, malah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri kenderaan elektrik serantau,” katanya.

KLK TechPark yang dibangunkan oleh KLK Land menyediakan kawasan perindustrian seluas 1,500 ekar dengan prasarana moden.

BYD akan memulakan fasa pertama di tapak seluas 150 ekar, sebelum diperluaskan dengan penyertaan pembekal automotif lain pada masa depan.

Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Berhad, Tan Sri Lee Oi Hian berkata, projek ini mencerminkan komitmen berterusan KLK terhadap pembangunan negeri.

“Sebagai syarikat yang berakar umbi di Perak, kami mahu memastikan pelaburan ini memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan ekonomi tempatan,” ujarnya.

Pembangunan kilang ini juga selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 yang menekankan sektor pembuatan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Google ads
Back to top button