Buletin

VOLKSWAGEN GROUP MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN PKT LOGISTICS, PERKUKUH MALAYSIA SEBAGAI HAB LOGISTIK SERANTAU

Volkswagen Group Malaysia (VGM) mengumumkan kerjasama strategik dengan PKT Logistics (M) Sdn. Bhd. bagi meningkatkan kecekapan logistik masuk (inbound) dan keluar (outbound), sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab logistik serantau.

Pengarah Urusan VGM, Dr. Susanne Lehmann, berkata kerjasama ini menjadi titik penting dalam usaha syarikat memastikan rantaian bekalan serantau lebih lancar, cekap dan boleh dipercayai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio, menegaskan bahawa syarikatnya komited terhadap amalan logistik mampan berteraskan prinsip ESG.

“Dengan pengalaman luas dalam logistik automotif serta rekod kerjasama bersama pelbagai jenama global, PKT bertekad meneruskan pendekatan lestari dalam operasi,” katanya.

PKT turut dikenali sebagai pelopor logistik hijau di Malaysia dengan pembangunan gudang pertama negara yang mendapat pensijilan Gold daripada Green Building Index (GBI).

Syarikat itu juga aktif dalam inisiatif sosial, termasuk melalui Yayasan PKT yang menawarkan biasiswa serta program pendidikan industri melalui Peninsula College di The Ship Campus.

Volkswagen Group Malaysia, yang ditubuhkan pada 2005, kini mengendalikan lima jenama utama di Malaysia iaitu Volkswagen, Audi, Porsche, Scania dan MAN.

Dengan kapasiti global menghasilkan lebih sembilan juta kenderaan setahun daripada 115 kilang di seluruh dunia, kumpulan ini sedang bersedia untuk memperkenalkan produksi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia bersama rakan tempatan, selain memulakan projek eksport ke negara ASEAN pada 2026.

Kerjasama dengan PKT dijangka meningkatkan daya tahan rantaian bekalan VGM serta memperkukuh strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan automotif gergasi itu di rantau ini.

Google ads
Back to top button