PERANCIS DAN JERMAN RAMPAS KAPAL MEWAH MEGA MILIK OLIGARKI RUSIA
Kerajaan Perancis hari ini berkata, ia telah merampas sebuah kapal layar besar yang dimiliki oleh sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Igor Sechin, ketua eksekutif gergasi tenaga Russia, Rosneft dan orang kepercayaan rapat Presiden Vladimir Putin.
Kapal itu, Amore Vero, dirampas di limbungan kapal di La Ciotat, dekat Marseille, kata kementerian kewangan.
“Kastam Perancis melakukan rampasan kapal layar Amore Vero di La Ciotat sebagai sebahagian daripada pelaksanaan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap Russia,” kata satu kenyataan.
Kapal layar itu dimiliki oleh sebuah syarikat ‘di mana Sechin adalah pemegang saham utama’.
Kapal sepanjang 85.6 meter itu dibuat oleh pembina kapal layar yang berpangkalan di Belanda, Oceanco dan memiliki kolam renang yang boleh bertukar menjadi helipad (tempat pendaratan helikopter), serta beberapa tingkat geladak termasuk satu dilengkapi jakuzi.
Kapal itu diserahkan pada 2013, kata pengilang di laman webnya.
Forbes pula melaporkan bahawa pihak berkuasa Jerman telah merampas kapal layar super Dilbar milik jutawan Alisher Usmanov, tetapi ia belum disahkan.
Pantai Riviera Perancis telah lama menjadi taman permainan untuk orang Russia yang sangat kaya, dengan ramai yang menghabiskan musim panas mereka di sana dengan kapal layar atau di villa mewah.
Paris minggu lalu berkata, ia sedang merangka senarai aset di Perancis yang dimiliki oleh oligarki termasuk kapal layar, kereta mewah dan hartanah.
“Jika saya seorang oligarki, di Russia atau Perancis, saya akan bimbang,” kata Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, Isnin lalu.
EU menambah lebih ramai ahli perniagaan berkaitan Kremlin dan jurucakap Putin ke dalam senarai hitam sekatannya pada hari itu.
Sechin adalah nama berprofil tertinggi, bersama dengan Nikolay Tokarev, bos gergasi saluran paip, Transneft.
Tiga lelaki yang disenaraikan dalam 10 teratas terkaya Russia oleh Forbes turut ditambah: Tokoh logam Alexei Mordashov, Usmanov, dan ahli perniagaan serta rakan Putin, Gennady Timchenko.
Sechin dilihat sebagai salah seorang lelaki paling berkuasa di Russia yang mempunyai pengaruh yang melampaui kepimpinannya dalam gergasi tenaga, Rosneft.
Seperti Putin, beliau berasal dari Saint Petersburg dan telah bekerja dengan presiden sejak awal kerjayanya di pejabat datuk bandar di bandar itu pada tahun 1990-an. – AFP