
KENAPA ADA ENJIN TAMAK ADA 8 PALAM PENCUCUH?
Dalam kebanyakan kes, bilangan palam pencucuh (spark plug) dalam enjin petrol biasanya sama dengan bilangan silinder. Sebagai contoh, enjin V8 lazimnya mempunyai lapan palam pencucuh, enjin V12 mempunyai 12 palam pencucuh, dan enjin empat silinder mempunyai empat palam pencucuh.
Namun, dalam sesetengah kes, terdapat enjin yang menggunakan dua palam pencucuh bagi setiap silinder. Pengeluar pertama yang melakukannya ialah Alfa 40/60 Grand Prix pada tahun 1914 dengan enjinnya begitu mendahului zaman sehingga mencetuskan sensasi sebelum pengeluar itu dikenali sebagai Alfa Romeo.
Sememangnya, jenama Alfa Romeo dan teknologi Twin-Spark miliknya saling berkait rapat, ibarat lebah dengan madu. Nadi penggerak kepada jentera Alfa 40/60 Grand Prix ialah enjin empat silinder sebaris 4.5 liter dengan sistem pencucuhan berkembar (dual-ignition), menggunakan dua palam pencucuh bagi setiap silinder, menjadikan jumlah keseluruhan lapan palam pencucuh.
Dengan lapan palam pencucuh, enjin sepatutnya menghasilkan lebih kuasa, bukan? Salah.
Sebenarnya, enjin empat silinder 4.5 liter itu hanya menghasilkan 39 kuasa kuda dan 60 Nm tork. Ia mungkin kecil mengikut standard tahun 2025, tetapi sudah mencukupi pada tahun 1914. Walaupun palam pencucuh berkembar boleh membantu meningkatkan prestasi, enjin dual-ignition sebenarnya lebih menumpukan kepada kecekapan, penjimatan bahan api, dan pengurangan asap.
Alfa Romeo bukan satu-satunya pemain dalam teknologi pencucuhan berkembar. Pengeluar Jepun Nissan telah menggunakan sistem dual-ignition khas yang dikenali sebagai NAPS seawal tahun 1980-an, manakala Ford pula menggabungkan reka bentuk aci sesondol tunggal (SOHC) dengan dua palam pencucuh setiap silinder pada enjin 2.3 liter Lima.
Nama besar lain seperti Mazda, Mercedes-Benz, Chevrolet dan Dodge juga pernah mencuba enjin dual-ignition.
Sementara itu, Honda memperkenalkan enjin empat silinder 1.3 liter i-DSI generasi baharu pada tahun 2001, dan ia kemudiannya digunakan pada model seperti Civic Hybrid 2003 serta Honda City i-DSI dalam versi 1500cc.
Berbeza dengan sesetengah reka bentuk twin-spark yang menyalakan kedua-dua palam serentak, enjin intelligent Dual Sequential Ignition (i-DSI) Honda menggunakan dua palam pencucuh bagi setiap silinder yang menyala mengikut urutan berbeza bergantung kepada beban enjin dan rpm.
Selain itu, palam pencucuh diletakkan secara menyerong dalam kebuk pembakaran untuk membakar campuran udara dan bahan api dengan lebih pantas, membolehkan Honda memaksimumkan setiap titisan petrol. Reka bentuk ini membolehkan enjin mencapai nisbah mampatan lebih tinggi dan pembakaran yang lebih agresif pada semua rpm, sambil meminimumkan fenomena knocking.
Enjin 1.3 liter i-DSI Honda menghasilkan sekitar 85 kuasa kuda, lebih tinggi daripada Alfa klasik tadi, namun kelebihan utamanya ialah penjimatan bahan api. Digabungkan dengan transmisi CVT Honda Multimatic S, enjin i-DSI mampu mencapai 27km/l dengan pelepasan emisi berbahaya yang rendah.
Selain berpotensi menghasilkan lebih kuasa sambil kekal jimat bahan api, enjin empat silinder dengan lapan palam pencucuh juga dianggap lebih boleh dipercayai kerana reka bentuknya yang mempunyai sistem sokongan (redundan).
Jika satu palam gagal, enjin masih boleh terus beroperasi. Inilah sebab mengapa sesetengah enjin pesawat menggunakan dua palam pencucuh bagi setiap silinder sebagai langkah keselamatan tambahan sekiranya salah satu gagal semasa penerbangan.
Namun begitu, kekurangan utama penggunaan dua kali ganda palam pencucuh ialah kos penyelenggaraan. Palam pencucuh hadir dalam pelbagai jenis, dan palam iridium boleh berharga sekitar puluhan ringgit ke ratusan ringgit per unit.
Bagi enjin empat silinder konvensional, kos menukar kesemua empat palam sekitar RM 200 ke RM 400 bergantung pada jenis aloi yang digunakan. Tetapi bagi enjin dual-ignition, kos ini akan menjadi dua kali ganda.
Harga ini mungkin tidak menjadi masalah jika anda menukar palam sendiri, tetapi di bengkel profesional, kos buruh untuk sistem dual-ignition juga hampir dua kali ganda. Tambahan pula, lapan palam pencucuh bermaksud lapan coil pack, dan menukar kesemuanya bukanlah murah.



