Artikel Pilihan

PERKONGSIAN BAHARU JADIKAN LAMBORGHINI LEBIH MAMPU MILIK – PELUANG BERAYA DENGAN LAMBO BARU NI

Pengenalan Urus membolehkan ramai jutawan baharu merasai pemilikan sebuah Lamborghini yang sebenar. Kenapa jutawan baharu? Ye lah, kalau jutawan lama dah tentu tak kisah kalau nak beli sebuah supercar sebenar yang berharga jutaan ringgit tetapi hanya dengan dua tempat duduk. Jutawan baharu banyak lagi nak kena fikir dik. Tapi walaupun lebih murah dari Aventador, Urus ni sebenarnya bukan murah untuk kita yang rata-ratanya mempunyai kuasa beli bantuan pinjaman 9 tahun.

Tapi itu semua kita tolak tepi dulu kerana kita Lamborghini dan buat JV dengan rakan kongsi mereka yang baharu bagi membolehkan lebih ramai peminat memiliki Lamborghini sebenar, baharu dan mampu milik. Bayangkan balik kampung beraya ini dengan membawa Lamborghini. Eh, kenapa bawa? Bukan pandu ke bang? Yang ni kena bawa dik tapi tak kisahlah, janji ia memang Lambo sebenarnya.

Kali ini Lamborghini berkolaborasi dengan 24Bottles untuk membolehkan peminat membeli dua produk botol minuman istimewa yang bertemakan Lamborghini. Okey la kan? Lambo jugak yang penting ini bukan Lambo tiruan. Dua varian bakal dipasarkan dan dinamakan Clima Bottle dan Travel Tumbler]. Ia direka berasaskan bentuk heksagon yang menjadi ilham rekaan Lamborghini.

Kedua botol minuman ini dihasilkan daripada keluli tahan karat 18/8. Clima Bottle lebih praktikal kerana mampu memastikan minuman panas kekal panas selama hampir 12 jam dan jika diisi dengan minuman dingin in akan kekal dingin selama 24 jam.

Kalau anda sudah memiliki sebuah Aventador SVJ macam PokYa (versi Hotwheels), kedua bekas minuman ini memang secocoklah. Travel Tumbler pula memang kedap udara dan dijamin bebas bocor. Kesian kat pemilik Aventador ataupun Urus kalau air kopi cap badak beranda tumpah atas seat kulit tu.

Produk botol minuman yang boleh diguna semula seperti ini memang lebih mesra alam dan nampak tidak kena dengan mereka yang memiliki Lamborghini tapi memang itulah gimiknya. Kalau nak tunggu model Lamborghini elektrik sepenuhnya, paling cepat pun tahun 2030 baharu dijangka keluar. Ha, kumpul la duit banyak-banyak dulu.

Sebelum ini Lamborghini pernah berkolaborasi dengan sebuah syarikat pengeluar bot dan berjaya menghasilkan 63 buah bot mewah edisi terhad yang dinamakan Technomar 63. Itu memang super mahal dan berada dalam kategori mamp tengok je.

Baik beli botol minuman ini yang jauh lebih murah dan bergaya. Apa kelas minum kopi dalam gelas kertas lambang kepala singa ada tulis nama sendiri macam budak-budak Tiktok.

Botol minuman ekslusif ini boleh dibeli dalam talian tapi kalau nak rasa sendiri pengalaman membeli produk keluaran Lamborghini, baik beli sendiri di pengedar sah Lamborghini. Boleh ambik gambar dan hidu sendiri bau supercar dalam showroom serba eksklusif yang orang kampung korang tak pernah sampai.

Google ads
Back to top button