Buletin

PERLUMBAAN PIKES PEAK BULAN JUN 2018, VW DAH MULA BERSIAP NAK PECAHKAN REKOD

Aktiviti permotoran Volkswagen agak sepi selepas tidak bersaing dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tahun ini. Skandal diesel benar-benar memberi kesan kepada VW dengan begitu banyak jumlah denda yang dikenakan. Walaupun terpalit dengan skandal, prestasi jualannya baik-baik sahaja dan kekal pada tiga teratas dunia.

Selepas skandal yang menjejaskan reputasi dan integriti VW nampak semakin fokus dalam bidang kenderaan elektrik pula. Jenama Jerman itu mempunyai perancangan besar termasuk melancarkan semula VW Kombi yang dikuasakan oleh tenaga elektrik pada masa akan datang.

Untuk membuktikan mereka serius dalam bidang ini dan bagi menguji keupayaan teknologi yang ada, VW bakal menyertai perlumbaan mendaki paling terkenal di dunia iaitu Pikes Peak International Hill Climb. 

Memandangkan perlumbaan di Colorado itu telah pun berlangsung pada Jun lalu, VW bakal menyertai perlumbaan untuk edisi akan datang iaitu pada 24 Jun 2018.

Matlamat VW dalam perlumbaan dengan aras 4,300 meter itu ialah mahu mencatatkan rekod baharu untuk kenderaan elektrik.

Projek ini sebenarnya adalah sebahagian daripada program transformasi VW sebagai peneraju dalam pengeluaran kenderaan elektrik di mana menjelang tahun 2025 nanti mereka berhasrat untuk menawarkan 23 buah model kenderaan elektrik.

“Perlumbaan Pikes Peak ialah di antara acara yang terkenal di dunia. Ia mempunyai cabaran yang besar dan oleh itu sangat sesuai digunakan untuk menguji teknologi masa depan,” kata Ahli Lembaga Pengarah yang bertanggung jawab tentang Pembangunan, Dr Frank Welsch.

“Kereta elektrik kami bakal dilengkapi teknolgi pacuan dan bateri yang inovatif. Ujian ekstrem dalam Pikes Peak ini bakal memberikan kami data yang dapat memberi faedah untuk pembangunan masa depan dan acara ini juga untuk mempamerkan produk dan teknologi yang kami ada.” ujar Dr Frank Welsch.

Selain itu, kereta lumba ini sedang dibangunkan oleh Volkswagen Motorsport dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Teknikal VW di Wolfsburg, Jerman. Menurut Pengarah Volkswagen Motorsport, Sven Smeets, ini adalah kali pertama mereka membangunkan kereta lumba elektrik dan teruja dengannya.

Satu lagi perkara menarik yang dikongsi oleh beliau ialah Volkswagen Motorsport pernah menyertai Pikes Peak pada tahun 1987 menggunakan enjin berkembar Golf tetapi gagal untuk menamatkan perlumbaan di saat akhir.

Jadi ini adalah peluang untuk perlawanan semula bagi menakluk gunung yang ikonik itu.

Perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb atau lebih popular dengan timangan perlumbaan ke awan (Race to the clouds) telah diadakan sejak tahun 1916 lagi di Gunung Rocky berhampiran Colorado Springs.

‘Litar’ itu mempunyai jarak perlumbaan 19.99 km dengan dakian 1,440 meter ke puncak dengan ketinggian 4,300 meter dari aras laut.

Rekod kereta elektrik prototaip yang mahu dipecahkan VW sekarang ini dipegang oleh pelumba Amerika Syarikat iaitu Rhys Millen dengan jentera e0 PP100 dan masa 8 minit 57.118 saat pada tahun 2016. 

Memang pantas, rekod keseluruhan terbaik Pikes Peak sekarang ini masih lagi dipegang oleh Sébastien Loeb. Beliau memegang rekod itu sejak dari tahun 2013 dengan masa 8 minit 13.878 saat menggunakan Peugeot 208 T16 Pikes Peak.

BACA: KAWASAKI RACING CAR, MODEL PERLUMBAAN YANG TERBIAR

BACA: MCLAREN F1 1997 UNREGISTERED NI MUNGKIN MILIK ANDA – JIKA CUKUP WANG HANTARAN

Google ads
Back to top button