Buletin

FORD SIERRA COSWORTH RS500 INI DISIMPAN DALAM STORAN KHAS – CUBA TEKA BERAPA HARGA NAK JUAL?

Ford sebenarnya banyak juga kereta legenda. Antaranya ialah kereta yang digunakan untuk perlumbaan rali. Kiranya Ford ini memang hebat dalam perlumbaan rali cuma iya lah, mungkin sebab jenama Amerika jadi ia agak sejuk di sini.

Ford Focus popular di zaman mendiang Collin McRae dan sekarang pun popular juga dek kerana Ken Block. Paling menarik, selepas beberapa ketika menggunakan Ford Focus dan Fiesta, kini Ken Block beralih kepada Ford Escort Cosworth Group A 1991.

Sebelum ada yang memerli spoiler kereta Jepun seperti Mitsubishi Evolution, Subaru Impreza atau Proton Wira 1.8 EXi macam tiang gol, eloklah lihat dulu spoiler Escort Cosworth.

Sebelum lahirnya Escort Cosworth, Ford terlebih dahulu memasarkan Sierra Cosworth dan ini ada satu unit tahun 1988 yang hendak dijual. Ini bukan sebarang Sierra Cosworth sebab perbatuannya sangat rendah untuk kereta tahun 1988 iaitu baru 9,656 km.

Dari jumlah perbatuan pun dah boleh tahu kereta ini memang disimpan sebagai collector’s item dan ia bakal dibuka untuk bidaan pada acara Silverstone Auctions’ NEC Classic Motor Show Sale dari 11 hingga 12 November depan.

Berikut ialah serba sedikit latar belakang tentang Sierra Cosworth ini:

  • Kereta ini dibangunkan untuk membantu Ford memenangi Kejuaraan Kereta Penumpang British dan Eropah dengan hanya 500 unit dikeluarkan bagi melayakkan ia untuk bertanding dalam perlumbaan
  • Unit tahun 1988 ini hanya salah satu dari 56 yang dikeluarkan dalam warna putih menjadikan ia begitu rare
  • Kereta super saloon berkuasa 224 bhp ini ditemui oleh pengedar kereta iaitu Joe Macari pada tahun 2007 di dalam koleksi kereta klasik Ferrari di Jerman
  • Yang ini paling menarik, beliau kemudian menjualnya kepada pengumpul kereta Ford di mana pemilik baharu tersebut menyimpannya dalam bilik storan yang mempunyai kawalan suhu sehinggalah sekarang
  • Unit yang terbuka untuk bidaan ini berada dalam keadaan hampir sempurna dan agak mustahil untuk menjumpainya dalam keadaan asli memandangkan iya lah, bila beli kereta hebat mestilah nak belasah dan naik taraf
  • Satu-satunya perkara yang dilakukan pada Sierra Cosworth ini ialah penyelenggaraan major pada tahun 2014 di mana tali sawat enjin, bateri dan bendalir diganti

Selain itu, pendaftar RS500 iaitu Paul Linfoot turut memperakui keadaannya sebagai sebuah RS500 paling asli dan terbaik di dunia setakat ini. 

Tentang harganya pula, pastilah boleh telan air liur atau pura-pura gatal kepala. Pada tahun ini ada sebuah RS500 tahun 1987 telah terjual di acara Silverstone Auctions’ sempena Silverstone Classic pada harga GBP 115,000 atau bersamaan RM 639,912.

RS500 yang bakal dibida pada awal November nanti tidak pasti pula berapa harganya memandangkan unit yang telah terjual itu mempunyai sekali ganda perbatuan dari model ini.

Paling kurang pun GBP 100,000 atau setidak-tidaknya GBP 115,000 juga (RM 557,109 hingga RM 639,912).

Apa pun harganya, kereta klasik buatan jenama massa pun boleh jual lebih dari setengah juta sekarang ini. Untungla.

Maklumat lanjut tentang Ford Sierra Cosworth RS500 ini boleh didapati di: https://www.silverstoneauctions.com/1988-ford-sierra-cosworth-rs500

BACA: PERTEMBUNGAN 2 BENUA – FORD RANGER T6 DENGAN ENJIN TOYOTA 2JZ-GTE!

BACA: FORD CIPTA BUNYI EKZOS BOLEH SET IKUT MASA, TAKUT KENA MARAH JIRAN KAH KAH KAH

Google ads
Back to top button