Buletin

PERLUMBAAN SIMULATOR – JOM SERTAI VIPER NIZA MOTUL 12 HOURS OF SPA

Semenjak dunia dilanda wabak pandemik Covid-19 banyak perkara yang menjejaskan rutin harian, baik dari segi kehidupan seharian mahupun ke acara kegemaran, berlumba di trek misalannya. Ramai yang mengeluh tentangnya. Namun hakikatnya, pandemik ini sebenarnya turut memberikan rahmat buat sesiapa yang bijak menyesuaikan diri dengan situasi ini. Salah satunya adalah perlumbaan simulator.

Sebelum ini, perlumbaan simulator sebegini hanya dilihat sebagai sebuah hobi yang agak mahal semata sahaja. Perlumbaan simulator ini barangkali ada yang skeptikal bahawasanya ianya tidak lebih kepada sebuah permainan video sahaja. Walhal perlumbaan simulator ini merupakan pengalaman dengan trek dan jentera perlumbaan sebenar. Dan sudah tentulah teknik pemanduan yang hampir serupa di trek perlumbaan harus diaplikasikan dalam perlumbaan simulator ini.

Nah, jikalau anda berani dan handal berlumba marilah sertai perlumbaan simulator Viper Niza Motul 12 Hours of Spa yang bakal berlangsung pada 13 November ini. Perlumbaan secara maya ini dianjurkan oleh Adrenaline Impact, sebuah syarikat media yang banyak memberikan liputan media secara langsung meliputi perlumbaan F1, MotoGP dan juga paling penting perlumbaan kegemaran BK, sukan rali. Malaysian Rally Championship (MRC) sama Asian Pacific Rally Championship (APRC) pun mereka juga yang memberikan liputan secara langsung.

Perlumbaan Viper Niza Motul 12 Hours of Spa ini bakal menggunakan pelantar Komputer iRacing dengan pelbagai pilihan jentera lumba yang bukan calang – calang terbahagi kepada 2 kelas GT3 dan juga GTE meliputi jentera hebat seperti Corvette C8R, Porsche 911 RSR, Porsche 911 GT3R, BMW M4 GT3 serta Mercedes AMG GT3. Paling penting, iRacing ini terbukti dari segi tahap professional dan juga paparan grafik yang lebih nyata. Pelantar iRacing ini juga turut digunapakai oleh pelumba professional seperti Max Verstappen

Jikalau merasakan perlumbaan di trek Spa Francorchamps, Belgium sudah cukup mencabar, bayangkan apatah lagi sekiranya perlumbaan ini berlangsung selama 12 jam! Dengan bayaran pendaftaran serendah USD 30, setiap pasukan boleh menyenaraikan minimum 2 pelumba dan maksimum 6 pelumba. Ok lah kan boleh tong-tong. Paling penting, perlumbaan secara maya ini turut mendapat perakuan daripada MAM yang akan memberikan garis panduan serta pemantuan sepanjang acara berlangsung.

Dan sebagai habuan, hadiah kemenangan yang ditawarkan sedap juga kalau menang. Ribu ribu jugalah menurut orang kuat si Khairul Alang. Untuk maklumat lanjut, boleh layari Adrenaline Impact .

BACA : ADRENALINE IMPACT – ONE MOTORSPORTS BDRT RALLY SHAKEDOWN

BACA : ASTON MARTIN PERKENAL SIMULATOR AMR-C01. TERHAD 150 UNIT, RM307K SAHAJA

Google ads

B K

Back to top button