Buletin

TEEMU SUNINEN GANTI OTT TANAK DI ACI RALLY MONZA

Ini mungkin perkhabaran yang tidak berapa menggembirakan buat pasukan Hyundai Motorsports apabila pemandu utamanya Ott Tanak tidak dapat mengambil bahagian pusingan terakhir kalendar WRC 2021 di ACI Rally Monza disebabkan urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.

Pengumuman tersebut dikeluarkan melalui akaun media sosial pemandu Estonia tersebut. “Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan untuk perlumbaan terakhir ini. Masih ada perkara yang harus diperjuangkan!”, ujur beliau lagi.

Sementara itu pasukan Hyundai Motorsports sedar mengenai perkara itu dan turut mengucapkan semoga yang terbaik buat Ott Tanak serta tidak sabar untuk kembali bergandingan dengan bekas juara dunia WRC itu pada musim 2022 kelak.

Dan untuk menggantikan tempat kerusi Ott Tanak, sudah tentu Hyundai memerlukan seseorang yang cukup laju dan handal. Maka Hyundai telah memilih Teemu Suninen dan juga Mikko Markkula bagi memacu jentera Hyundai i20 Coupe WRC di Litar Monza bagi pusingan terakhir kelak.

Pemilihan pemandu dari Finland tersebut dilihat tepat berdasarkan pengalaman yang luas yang dimiliki Teemu Suninen sebelum ini yang pernah beraksi dalam kelas WRC semenjak tahun 2017 lagi bersama pasukan M-Sport Ford. Walau bagaimanapun, Teemu Suninen hanya beraksi beberapa kali dalam kelas WRC bagi musim ini disebabkan beliau yang turut beraksi dalam kelas WRC2 bersama pasukan M-Sport Ford.

Teemu Suninen akhirnya mengumumkan pengunduran diri daripada pasukan British tersebut pada Ogos lalu. Kali terakhir Teemu Suninen memandu jentera WRC adalah sewaktu di Rali Estonia dan berada di posisi keenam keseluruhan.

Sementara itu Teemu Suninen dijangka memandu uji jentera Hyundai i20 Coupe WRC buat kali pertama dalam minggu ini sebelum beraksi di Litar Monza pada minggu berikutnya. Untuk rekod, Teemu Suninen telah pun berpeluang untuk memandu jentera Hyundai i20 N Rally2 dan berjaya menduduki podium kedua sewaktu perlumbaan di Rally de Espana bulan lepas.

Ternyata Teemu Suninen sudah tidak sabar lagi untuk kembali beraksi di pentas utama WRC disamping merakamkan penghargaan kepada Prinsipal Pasukan, Adrea Adamo diatas kepercayaan yang diberikan.

BACA : WRC 2021 – KALLE ROVANPERÄ CIPTA SEJARAH DI ESTONIA UNTUK MUNCUL JUARA

BACA : SAH! OLIVER SOLBERG DAN DANI SORDO BAKAL BERKONGSI JENTERA KETIGA UNTUK PASUKAN HYUNDAI BAGI MUSIM WRC 2022

Google ads

B K

Back to top button