
ADRENALINE IMPACT – ONE MOTORSPORTS BDRT RALLY SHAKEDOWN
Jikalau tiada aral melintang, hujung bulan ini pusingan pertama Malaysian Rally Championship (MRC) 2018 bakal bermula. Dan pasukan One Motorsports Bagan Datuk Rally Team (BDRT) nampaknya telah cukup bersedia untuk memulakan saingan apabila menganjurkan Rally Shakedown bertempat di Sepang Dirt Track hujung minggu lalu.
BACA : RODUWAN RASHID YANG PATUT KITA KENALI
BACA : ALKISAH DWAU ONE MOTORSPORTS BAGAN DATUK RALLY TEAM
Brader Karrager berkesempatan untuk hadir menyaksikan pasukan ini Sabtu lalu di awal pagi ketika orang lain sedang sedap mengunyah nasi lemak dalam suasana hujan pagi. Ternyata, pasukan ini bukanlah calang-calang. Walaupun hubungan sesama mereka kelihatan seperti adik-beradik boleh bertepuk tampar bagai namun urusan pasukan tetap dijalankan secara professional. Repo dengan media arus perdana pun orait juga. Bijak. Bijak.
Sekitar penghujung Januari yang lalu, One Motorsports pernah menganjurkan satu program bertempat di Port Dickson yang bertujuan untuk memperkenalkan barisan pelumba dan juga sebagai platform untuk mencari penaja. Turut berlangsung acara yang sama adalah Hari Keluarga mereka sendiri. Bijak dan handal bukan? Eh kejap, ada yang nak mengata Brader Karrager dibayar dengan nasi lemak kah untuk memuji melangit ni? Itu hari nak merasa juadah yang disediakan pun tak sempat sebab sibuk mengambil gambar tak tentu hala.
Acara tersebut berlangsung dengan jayanya walaupun hujan turun sebentar membasahi trek di awal pagi yang menyebabkan laluan menjadi licin dan berlumpur. Jenuh jugalah nak elak lecak daripada tergolek sebab licin. Pakai pula Croc cap pasar malam.
Shakedown ini berlangsung seumpama mini SS apabila lengkap dengan Marshal dan Penjaga Masa bagai. Apa yang menariknya, kelihatan penonton yang turut sama hadir di perkarangan parkir Litar Sepang. Serupa saingan rali sebenar.
Memulakan Rally Shakedown ini adalah sebuah Proton Savvy dengan spesifikasi rali. Nampak orait juga. Namun sudah tentulah kelibat Roduwan selaku juara bertahan bersama GC8 beliau yang masih suci murni belum dilumpuri tanah sedangkan kereta Haji Cyco terlebih dahulu berlemoih. Sempat melompat lebih tinggi lagi Brader Chepot kita ni.
Tapi yang paling mencuri perhatian Brader Karrager adalah Julian Johan dari Indonesia, selaku pemandu baharu untuk pasukan. Untuk rekod, Julian adalah mantan juara bagi Kejuaraan Nasional Rally Sprint Indonesia musim 2016 dan 2017.
Ternyata Julian seakan tidak mempunyai rasa kekok ketika mengemudi Satria Neo di laluan berlumpur dan licin. Ketika ada kereta lain yang tergelincir, Julian tenang sahaja sambil memecut laju ketika mengambil selekoh.
Ratu Rali Negara, Gina Finanza kembali menggunakan Proton Satria 1.8 liter berenjin diesel setelah menggunakan kereta klasik bagi saingan musim lepas. Menariknya kali ini, Gina Finanza bakal digandingkan dengan anak sulung beliau, adik Izyan yang baharu sahaja menyambut ulang tahun ke 20. Selamat maju jaya buat pasangan anak beranak ini. Oh ya, sahajalah Brader Karrager nak sembang lebat sikit. Suatu ketika dahulu Brader Karrager juga pernah menumpang kereta rali yang sama makcik Gina ini. Heh.
Kalau nak diikutkan senarai pelumba dan kereta yang bakal dipertandingkan, memenangi beberapa kategori pasti bukan masalah buat pasukan ini. Tentang perkhabaran untuk turut bertanding APRC di Johor kelak, sempat Roduwan maklumkan kemungkinan ianya tidak menjadi nyata. Yuran pertandingan APRC kalau simpan buat untuk Rally Shakedown tahun 2019 pun molek juga, iya tak?