Buletin

BAHAN API SINTETIK BOLEH JADI ALTERNATIF KEPADA EV – LAMBORGHINI

Disebabkan oleh peraturan emisi yang semakin ketat, tidak banyak pengeluar supercar yang membawakan model baharu dengan enjin bersesaran besar dan bilangan silinder yang terlalu banyak.

Namun, Lamborghini masih lagi setia dengan nadi V12, di mana untuk model terbaharu mereka merancang untuk membawakan trenkuasa hibrid pada masa akan datang.

Adakah Lamborghini sudah bersedia untuk beralih kepada kenderaan elektrik?

Berdasarkan laporan daripada Tech Crunch, CEO Lamborghini Stephan Winkelmann menjelaskan mereka belum membuat keputusan untuk menghentikan penawaran enjin pembakaran dalaman.

Tatkala pengeluar arus perdana tidak mempunyai pilihan melainkan terus menghentikan penawaran ICE di Eropah pada tahun 2035, pengeluar berskala kecil seperti Lamborghini mempunyai tambahan satu tahun lagi untuk berbuat demikian.

“Ia sedikit sukar, memandangkan parlimen Eropah membuat keputusan untuk mengharamkan penjualan enjin petrol dan diesel pada tahun 2035, dan untuk pengeluar kecil seperti Lamborghini bermula tahun 2036.

“Jadi, kami tidak perlu untuk membuat keputusan itu dengan segera.

Beliau percaya masih wujud potensi hebat di dalam penggunaan bahan api sintetik sebagai penyelamat kepada ICE.

Jelasnya, pihak Lamborghini masih mempunyai peluang untuk menguji bahan api tersebut, namun ia hanya mampu dicapai sekiranya terdapat perubahan di dalam peraturan dan undang-undang sedia ada.

Jika langkah tersebut gagal, Lamborghini akan menjadi sebuah jenama elektrik sepenuhnya menjelang awal 2030-an.

Dalam masa terdekat, Lamborghini akan melancarkan sehingga tiga model baharu pada tahun ini, dua daripadanya merupakan varian Urus dan sebuah lagi merupakan Huracan Sterrato – supercar terakhir Lamborghini dengan enjin pembakaran dalaman tulen. – Tech Crunch

Google ads
Back to top button