Buletin

PERODUA BAWA KECERIAAN KEPADA PESAKIT DI HOSPITAL KUALA KUBU BHARU DAN HOSPITAL SELAYANG

Ketika rakyat Malaysia meraikan kemeriahan Tahun Anjing bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di kampung halaman, Perodua melawat pesakit di hospital.

Pengeluar kereta berkenaan mengadakan lawatan ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk sama-sama memberi kegembiraan kepada lebih 70 orang pesakit apabila menghadiahkan mereka hamper, angpow, buah oren dan banyak lagi.

Perodua turut menyumbang dua unit mesin electrocardiograph (ECG) bernilai RM6,000 setiap satu kepada hospital berkenaan.

“Kami harap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu Hospital Kuala Kubu Bharu dan kakitangannya dalam merawat pesakit,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Hari ini, Perodua akan melawat Hospital Selayang dan menyumbang tiga beg ambu (alat untuk membantu mereka yang mengalami masalah pernafasan) bernilai RM600 setiap satu. Selain mengagihkan hamper kepada 60 orang pesakit di wad paediatrik.

Bukan itu sahaja, Perodua komited untuk menganjurkan satu program kebajikan dengan wad paediatrik Hospital Selayang bermula tahun ini sehingga tahun 2020. 

Perodua telah merancang banyak aktiviti dengan kanak-kanak selama tiga tahun ini. Ia merangkumi persembahan bercerita, patung, badut, mewarna dan menyanyi.

Pasukan sukarelawan Perodua juga akan menyelenggara dan menambah baik ruang bermain dengan membeli lebih banyak permainan dan buku. Di samping menghias dan membersihkannya. 

Google ads
Back to top button