
PERODUA CATAT REKOD PENGELUARAN TERTINGGI 33,666 UNIT DAN JUALAN 32,179 UNIT PADA MAC 2023
Momentum pengeluaran dan jualan Perodua kekal kukuh apabila mencatatkan rekod tertinggi pengeluaran iaitu sebanyak 33,666 unit kenderaan. Manakala divisyen jualan pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 32,179 unit kenderaan pada Mac.
“Pencapaian ini disumbang oleh beberapa faktor, antaranya adalah usaha kami untuk memenuhi tempahan PENJANA sebelum 31 Mac 2023. Selain penambahbaikan pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik dalam rangkaian jualan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Pada asas suku tahunan, pengeluaran meningkat sebanyak 33.9 peratus kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit dalam tempoh sama tahun 2022.
Bagi jualan jualan pula, pendaftaran meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada 78,564 unit dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada asas bulanan, Perodua merekodkan peningkatan sebanyak 20.2 peratus kepada 32,179 unit berbanding 26,759 unit yang dijual pada Mac tahun lalu. Jumlah itu meningkat sebanyak 29 peratus berbanding 24,936 unit yang dijual pada Februari tahun ini.
“Di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan PENJANA yang tidak dapat kami penuhi dan kepada pelanggan yang terlibat, kami akan meneruskan jumlah pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” kata Zainal.
Mengulas lanjut, Zainal berkata prestasi Perodua dijangka terus meningkat di masa hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh. Pertumbuhan pengeluaran yang berterusan juga berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk beberapa model tertentu.
Malah, bagi sesetengah model tempoh menunggu telah berkurangan dengan signifikan. Hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna.
Dari segi pengeluaran pula, penurunan harga bahan mentah di peringkat global baru-baru ini telah memberikan kelegaan kepada pembekal, Perodua serta kebanyakan pemain industri automotif. Situasi itu memberi kelebihan yang membolehkan Perodua memanfaatkannya dengan menyiapkan stok kenderaan lebih cepat.
Pada hujung Januari lalu, Perodua mengumumkan sasaran pengeluarannya sebanyak 330,000 kereta dan sasaran jualan sebanyak 314,000 unit bagi tahun 2023.